Lima wakil negara meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton bertaraf Super 300, Terbuka Switzerland selepas melepasi peringkat suku akhir.

Paling awal mengesahkan slot ke separuh akhir adalah bergu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang turun dengan status pilihan kelima selepas menundukkan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa dengan kemenangan 21-16, 16-21, 21-18.

Kian Meng-Pei Jinbg akan berdepan pilihan keenam dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang menundukkan pasangan bergu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 14-21, 21-14, 21-19.

Turut terkandas di suku akhir, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas kepada pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Bøje 21-14, 19-21, 15-21.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tampak semakin yakin dan konsisten apabila turut meneruskan perjuangan untuk memburu kejuaraan pertamanya tahun ini.

Zii Jia turun dengan dengan status pilihan kedua menang ke atas pilihan kelima dari India B Sai Praneeth 21-14, 21-17.

“Dari pusingan pertama sehingga suku akhir prestasi saya adalah normal. Selepas aksi di Thailand, saya mencari semula keyakinan dan rentak permainan.

“Hari ini adalah ujian dan saya berjaya melepasinya tetapi masih belum berpuas hati kerana masih ada perlawanan lagi (separuh akhir),”kata Lee Zii Jia 

Aksi separuh akhir hari ini, Lee Zii Jia akan menentang wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menundukkan pemain India, Ajay Jayaram 21-9, 21-6.

“Kita tahu Kunlavut Vitidsarn adalah pemain yang sedang meningkat naik, kita pun dapat lihat bagaimana prestasi beliau dalam tempoh dua tahun ini semakin bagus,”katra Zii Jia lagi 

Saingan bergu lelaki menyaksikan hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menang ke atas gandingan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-18, 9-21, 21-16.

Manakala bergu muda negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong dan bergu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii terkandas di suku akhir selepas tewas kepada lawan masing masing.

Kem bergu wanita pula menyaksikan pasangan ‘adik’ Pearly Tan-M Thinaah dan ‘kakak’ Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan berentap di peringkat separuh akhir

Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Denmark, Amalie Magelund-Freja Ravn 21-19, 21-10.

“Sebelum turun kami sudah bersedia dari segi mental kerana saya tahu perlawanan kali ini bukan mudah tetapi kami kekal positif dan percaya diantara satu sama lain. Itu yang kunci kepada kejayaan kami di perlawanan ini.

“Kebiasaannya ketika di awal permainan kami melakukan kesilapan dan berbincang untuk perbaiki cara permainan,”kata M Thinaah.

“Kami akan bertemu dengan senior (Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean) di separuh akhir dan hanya mengharapkan permainan yang terbaik dan bermain habis habisan. Kami juga teruja untuk perlawanan separuh akhir,”kata M Thinaah.

Bagi Pearly Tan, aksi separuh akhir bukan misi membalas dendam, sebaliknya mahu kekal fokus dengan permainannya bersama sama Thinaah dan memperbaiki segala kesilapan dalam pertemuan terakhir mereka di Bangkok pada Januari lalu. 

“Kami ada keyakinan dalam cara permainan masing masing serta komunikasi yang baik, tetapi kami tidak boleh yakin akan dapat ke final, tetapi yang pasti saya akan berikan yang terbaik untuk perlawanan esok (hari ini).

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang soal balas dendam kerana menang ataupun kalah, ini adalah proses untuk kami dan harap dapat belajar daripada kesilapan dan berikan yang terbaik berbanding pertemuan kami ketika di Thailand,”kata Pearly Tan.

##

[5] Tan Kian Meng – Lai Pei Jing -IND Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-16, 16-21, 21-18

[5] B Sai Praneeth – Lee Zii Jia [2] 14-21, 17-21

Pearly Tan-M Thinaah – DEN Amalie Magelund-Freja Ravn 21-19, 21-10

[6] Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen  – Low Hang Yee-Ng Eng Cheong

[5] Ong Yew Sin-Teo Ee Yi – [2] Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-12, 19-21, 12-21

[7] CAN Rachel Honderich-Kristen Tsai – [2] Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean

[1] Chan Peng Soon-Goh Liu Ying -DEN Mathias Christiansen-Alexandra Bøje 21-14, 19-21, 15-21

[6] Thom Gicquel-Delphine Delrue – [4] Goh Soon Huat- Shevon Lai Jemie 14-21, 21-14, 21-19

[1] Aaron Chia-Soh Wooi Yik – INA Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-18, 9-21, 21-16

- Advertisement -