Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tetap mempunyai kejutan tersendiri apabila menyingkirkan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Chen Long di pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta. 

Impian untuk berdepan jaguh dari China itu menjadi kenyataan, malah membuktikan beliau lebih layak untuk ke suku akhir.

Laluan pemain berusia 21 tahun itu bagaimana pun tidak mudah apabila dipaksa bertarung selama 88 minit sebelum menang  21-16, 19-21, 22-20 sekaligus dijadual berdepan wakil Denmark, Anders Antonsen untuk merebut slot separuh akhir.

Antonsen mendapat kemenangan percuma pada pusingan kedua selepas pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi dari China menarik diri pada set pertama.

Mengikuti jejak Zii Jia, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai yang turut melakar kejutan  ke atas  pilihan keenam yang juga wakil tuan rumah, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja straight set 21-15, 21-18.

Satu lagi pasangan bergu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut mara ke pusingan seterusnya selepas menyingkirkan pilihan kelapan, Tan Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dalam straight set 21-15, 21-14.

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juga mengesahkan tempat di suku akhir apabila mengalahkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 21-19, 21-15.

Nasib tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang tewas kepada pemain nombor tiga dunia, Nozomi Okuhara dari Jepun dengan keputusan 7-21, 16-21.

Beregu perempuan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut mengalami nasib sama apabila kalah 21-13, 21-12 kepada satu lagi beregu Jepun, Matsutomo-Ayaka Takahashi yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Satu lagi beregu negara, Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen tersekat ke pusingan seterusnya apabila memberi tentangan sengit sebelum kalah 21-19, 12-21, 10-21 kepada beregu Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

- Advertisement -