Li Xuerui

Oleh Muhammad Aiman

Pada hari yang menyaksikan China – kuasa besar badminton Asia dan dunia – terus menangisi nasib malang di gelanggang badminton, Jepun pula mencipta sejarah tersendiri apabila mengucup pingat emas pertama mereka dari sukan itu di pentas Sukan Olimpik.

China yang sudah sedia kehilangan dua daripada lima emas yang disapu bersih ketika di London 2012, ‘tercicir’ satu lagi emas setelah wakil tunggal perseorangan wanita tewas di separuh akhir kepada pemain nombor satu dunia Carolina Marin.

Mereka sebelum ini berputih mata apabila dua wakil bagi acara beregu campuran – finalis empat tahun lalu – tersingkir di peringkat separuh akhir, dituruti kekalahan beregu wanita Yu Yang dan Tang Yuanting juga di peringkat separuh akhir.

Bagi yang tidak tahu, China merupakan pemenang emas bagi acara beregu wanita dalam lima edisi berturut-turut sejak Atlanta 1996, dan menggengam emas acara perseorangan wanita dalam empat edisi berturut-turut sejak Sydney 2000.

Ini sekaligus bermakna menjelang aksi separuh akhir perseorangan lelaki dan final beregu lelaki yang bakal menyaksikan tiga wakil negara tembok besar itu turun gelanggang, mereka hanya berpeluang mempertahankan dua sahaja emas malah tidak keterlaluan jika dikatakan berdepan kemungkinan pulang dengan tangan kosong.  

Untuk rekod, China tidak pernah pulang kurang dari tiga emas sejak penampilan di Sydney 2000 bermakna dengan rebahnya dominasi mereka, secara tidak langsung ianya menjadi penampilan terburuk mereka di gelanggang badminton selepas 20 tahun iaitu kali terakhir mereka pulang dengan hanya satu emas.

Dalam memperkatakan mengenai tumbangnya legasi China di Rio De Janeiro, pasangan beregu wanita Jepun Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi pula memastikan dominasi Asia dalam sukan badminton berterusan apabila meraih emas dengan menewaskan gandingan dari Denmark, Christina Pedersen-Kamilla Rytter Juhl.

Dalam aksi final sengit penuh mendebarkan, pingat emas hampir sahaja ‘terlepas’ ke tangan Eropah namun gandingan nombor satu dunia itu menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit mengutip lima mata berturut-turut di set ketiga untuk mengesahkan kemenangan bersejarah buat Jepun.

Tinggal hanya dua sahaja pemenang belum ditentukan, bagi acara beregu lelaki gandingan Malaysia Goh V Shem dan Tan Wee Kiong akan berdepan Fu Haifeng-Zhang Nan dari China manakala Dato’ Lee Chong Wei, Lin Dan, Chen Long dan Victor Axelson akan berentap untuk memburu tempat di perlawanan akhir perseorangan lelaki.  

- Advertisement -