Spekulasi tentang status saingan liga domestik di Indonesia yang sepatutnya bersambung pada 1 Oktober terlerai apabila Liga 1 dan Liga 2 ditunda.

Keputusan untuk menyambung semula liga tempatan tidak mendapat restu daripada Polis Republik Indonesia (Polri).

Isnin lalu, pemimpin tertinggi Polri, Kadiv Humas Mabes Polri, Inspektur Jenderal Polisi (Irjen) Argo Yuwono tidak bersetuju dengan cadangan untuk menyambung saingan liga tempatan.

Ia susulan peningkatan drastik kes Covid 19 yang melanda negara itu malah kini berada dalam kedudukan 30 negara yang merekodkan jumlah kumulatif jangkitan harian.

Malah, beliau berpendapat, jika liga diteruskan, kemungkinan wujud kluster jangkitan baharu melibatkan sukan bolasepak adalah tinggi selain mengelak sebarang perhimpunan secara besar besaran.

Keputusan tersebut diterima dengan terbuka dan menghormati pandangan yang diberikan  Polri oleh Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Mohammad Iriawan.

Beliau juga berharap saingan liga domestik dinegara itu dapat diteruskan secepat mungkin.

 

- Advertisement -