Penyertaan pasukan Skuad Projek FAM-MSN pada musim 2021 diterima dengan penuh positif oleh beberapa pasukan Liga Premier yang berpandangan kehadiran mereka akan menjadikan aksi yang lebih kompetitif dengan penyertaan 11 pasukan secara keseluruhan.

Dalam masa sama, peluang bermain di Liga Premier akan menjadi medan buat pemain-pemain dalam skuad projek ini bagi menyerlahkan potensi sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk memikat mana-mana pasukan Liga Malaysia atau kelab luar negara pada masa depan.

Antaranya Ketua Jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim, yang bersetuju kemunculan pasukan ini yang mirip dengan skuad Harimau Muda pada satu ketika dahulu kerana saingan di Liga Premier mampu memberikan pendedahan berguna kepada pemain-pemain muda yang berusia 20 tahun ke bawah.

Ditambah kehadiran empat pasukan reserve team seperti Perak II, Johor Darul Ta’zim II (JDT II). Selangor 2 dan Terengganu FC II yang turut membariskan ramai pemain muda, perkara itu mampu menjadi elemen menarik dalam saingan Liga Premier kerana bakal menyajikan aksi lebih pantas dan bertenaga.

“Sebagai jurulatih yang banyak melatih bakat muda, saya rasa penyertaan Skuad Projek FAM-MSN ini tepat pada masanya bagi jangka masa panjang dan situasi ini juga baik kepada pasukan yang akan bersaing di Liga Premier pada musim depan.

“Pemain-pemain ini memerlukan satu transisi dalam karier mereka semasa di peringkat remaja ke senior untuk mematangkan cara permainan dan peluang bermain di Liga Premier, boleh membuka ruang itu.

“Kehadiran skuad projek juga akan melihat kita akan lalui tambahan dua lagi perlawanan dan ini sesuatu yang baik kerana sebelum ini kita difahamkan hanya 10 pasukan sahaja di Liga Premier.

“Apa yang penting dengan aksi di Liga Premier, kita harap boleh membantu mereka sebagai satu pasukan sebagai persediaan kejohanan-kejohanan utama di luar negara terutama di Sukan SEA 2021,” katanya.

Pada Khamis, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumumkan kerjasama untuk menubuhkan Skuad Projek FAM-MSN yang akan bersaing dalam Liga Premier bermula musim hadapan.

Penubuhan skuad ini sebagai usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) selain graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.

Skuad Projek FAM-MSN akan dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah selain dibantu Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal).

Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti, turut bersetuju kehadiran Skuad Projek FAM-MSN dan beliau sendiri tidak ada masalah dengan pertambahan pasukan di Liga Premier.

Tambahnya, memandangkan Sukan SEA akan berlangsung pada November ini, persediaan awal cukup penting dan peluang bermain di Liga Premier mampu menjadi medan memperkemaskan pasukan terutama dalam membentuk keserasian dalam kalangan pemain.

“Sebagai pendedahan, saya sangat bersetuju dan ini adalah medan terbaik kepada pemain-pemain muda untuk merasai bola sepak di peringkat yang lebih tinggi.

“Malah dengan Sukan SEA yang berjalan pada penghujung tahun, ini cara terbaik sebagai langkah persediaan kepada pasukan selain beberapa kejohanan-kejohanan antarabangsa yang lain.

“Daripada semua pemain itu nanti, mungkin kita akan lihat sebahagiannya pasti menyerlah dan mungkin buka ruang kepada mereka bermain dengan pasukan-pasukan elit.

“Cuma saya harapkan tiada antara mereka yang tercicir dalam 30 pemain itu nanti dan pemantauan prestasi perlu dijalankan dari masa ke semasa,” katanya.

- Advertisement -