#Tiga Pengadil Malaysia Dilantik Bertugas Di Maldives Sehingga 15 Februari 2021

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan secara rasmi bahawa tiga pengadil dari Malaysia akan bertugas selama dua bulan di Maldives bagi mengendalikan perlawanan-perlawanan liga utama negara itu, Dhiraagu Dhivehi Premier League (DDPL).

Mereka terdiri daripada Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (pengadil FIFA), Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi (pengadil kebangsaan) dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman (ahli program Akademi Pengadil AFC) yang telah pun berlepas ke Maldives pada 12 Disember 2020 dan hanya akan pulang ke tanah air pada 15 Februari 2021.

Ketiga-tiga pengadil ini telah menjalani ujian calitan pengesanan COVID-19 sebelum mereka berlepas ke Maldives dan akan menjalani tempoh kuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik mereka pulang dari Maldives nanti.

Undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives ini sebahagian usaha kerjasama FAM bersama persatuan bola sepak negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil-pengadil tempatan terutamanya selepas pengurangan jumlah perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier serta pembatalan TM Piala Malaysia musim ini, selain sebagai persiapan menjelang musim baharu 2021.

Antara kerjasama FAM dengan persatuan bola sepak negara lain bagi tugasan pengadil ini, termasuk menghantar pengadil kita bertugas ke Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor-Leste di sepanjang tahun 2019.

Unit Pengadil FAM akan memantau prestasi ketiga-tiga pengadil ini sepanjang saingan liga di Maldives itu bagi memastikan kualiti kepengadilan mereka sentiasa pada tahap terbaik.

- Advertisement -