Goh Liu Ying, pemain beregu campuran yang mencipta sensasi bersama gandingannya Chan Peng Soon sepanjang tahun lalu sehingga berjaya meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, bakal kembali ke gelanggang selepas enam bulan tersisih gara-gara kecederaan bahu.

Kali terakhir kelibatnya disaksikan adalah ketika dia bersama-sama Peng Soon muncul naib juara Kejohanan All England di Birmingham pada Mac lalu.

Gadis manis berusia 28 tahun itu sudahpun turun menjalani latihan sejak tiga minggu lalu dan sebagai permulaan disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beraksi di dua kejohanan kecil iaitu Cabaran Antarabangsa India dan Cabaran Antarabangsa Maldives pada Disember depan.

“Ini adalah kali kedua saya membuat penampilan semula setelah berehat panjang. Sudah tentu ianya sukar untuk saya bermula semula dari bawah. Saya belum cergas sepenuhnya dan masih perlu tingkatkan stamina dan kekuatan,” ujar Liu Ying yang tersisih lebih lapan bulan pada 2014 kerana menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya. 

Liu Ying bagaimanapun tidak akan berganding dengan Peng Soon, sebaliknya diberikan gandingan baru pemain berusia 19 tahun Chen Tang Jie namun dia menyatakan kesediaan membimbing pemain muda itu memburu pencapaian gemilang di pentas antarabangsa.  

“Sudah tentu saya akui cabaran paling besar saya adalah membentuk gandingan yang baik dengan Tang Jie. Tidak seperti Peng Soon yang sudah berpengalaman, ini kali pertama saya akan berganding dengan seorang pemain jauh lebih muda.

“Sebelum ini saya pernah lawan dengan Tang Jie dalam saingan beregu campuran di Purple League, jadi saya tahu dia seorang pemain menyerang yang bagus. Walaupun masih kurang dari segi pengalaman, saya yakin dia akan cepat belajar dan boleh melangkah lebih jauh,” katanya.   

Untuk rekod, Tang Jie adalah seorang daripada enam pemain dari Kelab Badminton Petaling yang beraksi dalam Purple League yang diserap ke dalam BAM. Lima pemain lain adalah Man Wei Chong, Kwek Yee Jian, Soh Wooi Yik, Tan Chee Tean dan Ian Wong. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -