Setelah kembali dari kecederaan buku lali yang menyaksikannya tersisih dari Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu, tonggak pasukan futsal kebangsaan Saifulnizam Mohd Ali tekad mahu merebut semula tempatnya di dalam skuad utama.

Meskipun tanpa kelibatnya ketika temasya KL 2017, pasukan negara berjaya tampil dengan prestasi mengagumkan dan hampir sahaja mencipta kejutan sebelum akhirnya menamatkan saingan selaku pemenang pingat perak setelah tewas 3-4 kepada Thailand pada aksi terakhir.

Justeru, Saifulnizam mengakui reputasinya selaku pemain berprofil tinggi bukan jaminan untuk kembali membarisi skuad utama secara automatik apatah lagi dengan kehadiran pemain-pemain baru yang semakin menyerlah dan berpotensi mengugat peluangnya.  

“Memang saya terkilan tidak dapat membantu cabaran di Sukan SEA tempoh hari, tapi saya akur dan tumpang berbangga dengan pencapaian skuad negara. Kini saya tekad mahu menebus kecewa itu dengan membantu pasukan di Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Vietnam yang berlangsung bulan ini.

“Namun saya sedar perlu bekerja keras, saya tidak boleh selesa dengan status sebelum ini selaku pemain tonggak. Saya melihat pemain-pemain disenaraikan jurulatih semuanya bagus dan permainan mereka bertambah matang, bertambah meyakinkan.

“Saya juga perlu berhati-hati agar kecederaan tidak berulang, jadi saya anggap ini satu cabaran dan akan buat yang terbaik untuk membuktikan sudah bersedia diturunkan dalam skuad utama,” ujar pemain yang beraksi dengan skuad juara Liga Futsal Kebangsaan, Melaka itu. 

Untuk rekod, Chun Yong telah memanggil 18 pemain untuk menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal AFF Vietnam dari 25 Oktober – 2 November depan dengan 15 daripadanya adalah anggota skuad Sukan SEA manakala dua pemain lain adalah Farikh Khabibor Rahman (Perak) dan Hazizi Mansor (KL City).

Malaysia yang menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 2016 diundi di dalam Kumpulan B dan akan membuka tirai saingan dengan menentang Timor Leste pada 26 Oktober, diikuti Laos pada 27 Oktober dan juara bertahan Thailand pada 28 Oktober. 

Sementara itu, bercakap mengenai peluang skuad negara, Saifulnizam optimis sasaran mara ke peringkat separuh akhir boleh direalisasikan dengan mengambil kira kekuatan pasukan hasil kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda selain persiapan rapi yang telah dirancang.  

Sebelum bertandang ke Bandaraya Ho Chi Minh, pasukan negara akan menentang Kuantan Rangers pada Sabtu ini dalam aksi persahabatan selain terbang ke Qatar pada pertengahan bulan bagi mengharungi beberapa lagi perlawanan pemanas badan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -