Malaysia-Oman

Kempen Hero Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia dibuka dengan cemerlang oleh Skuad Senior Lelaki Kebangsaan apabila menewaskan Oman 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Malaysia membuka tirai jaringan pada minit keenam selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima tidak dipersiakan oleh fliker negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang melakukan satu flik mencari sudut sebelah bawah kiri pintu gol Oman.

Minit ke-13, Razie Rahim sekali lagi memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki diterjemahkan kepada jaringan apabila kali ini satu flik terus di tengah pintu gol Oman menewaskan penjaga gol mereka Fahad Al Noufali.

Jaringan hatrik Razie Rahim muncul pada minit ke-19 selepas kesilapan yang dilakukan pasukan Oman dihukum dengan penalti storke dan Razie Rahim tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan Malaysia selesa 3-0 dihadapan.

Minit ke-23, giliran Faizal Saari untuk mencatat nama selaku penjaring apabila mudah menolak bola hantaran Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan untuk kedudukan 4-0  dan kedudukan tersebut kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Empat minit bersambung suku ketiga, Muhammad Shahril Saabah menambah satu lagi gol untuk Malaysia selepas bijak menolak bola hantaran Faizal Saari dan lima minit sebelum aksi suku ketiga berakhir, Faiz Helmi Jali menjadikan kedudukan 6-0 menerusi gol gerakan padang.

 

Gol ketujuh yang juga merupakan gol kemenangan Malaysia hadir pada minit ke-48 hasil satu lagi gol gerakan padang kali ini merusi Mohamad Ashran Hamsani yang sekaligus menutup aksi pertama kumpulan dengan kemenangan 7-0. – mhc.org.my

- Advertisement -