Pasukan silat negara muncul juara keseluruhan Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 setelah menokok enam emas pada hari terakhir kejohanan di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Gombak pada Sabtu.

Malaysia mengutip jumlah keseluruhan sembilan emas, tiga perak dan empat gangsa (9-3-4) diikuti Vietnam (5-5-7) di tempat kedua dan Thailand di tempat ketiga dengan (4-6-4).

Lebih manis pingat emas terakhir Malaysia disumbangkan Mohd Zarish Hakim Shukor setelah menumbangkan juara dunia, Hanifan Yudani Kusuman dari Indonesia dalam kategori Putra C.

Zarish dinobatkan pemenang menerusi kemenangan secara teknikal (teknikal KO) setelah lawannya itu menarik diri ketika perlawanan sedang berlangsung sekaligus membalas dendam kekalahan kepada Hanifan di Kejohanan Dunia di Bali pada Disember lalu.

Tan Sri Mohd Ali bin Mohd Rustam (tengah) bergambar bersama peserta Kejohanan Silat Asia Tenggara di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Batu Caves sejurus selepas merasmikan pertandingan itu. – Kredit Foto – UTUSAN/HAFIZ JOHARI – Utusan.com.my

Terdahulu, Mastafa Fitri Masjuri memulakan hari cemerlang buat Malaysia apabila menjuarai kategori Putra A dengan menewaskan pesilat dari Vietnam, Nguyen Thanh Tri 5-0.

Juara dunia tiga kali, Mohd Al Jufferi Jamari pula tidak bermasalah menewaskan pesilat Thailand, Poomisak Ngankoh juga dengan keputusan teknikal KO.

Bekas juara dunia, Fauzi Khalid memenangi emas dengan menewaskan Abdul Raaziq Abdul Razak dari Singapura dalam kategori Putra F sementara Muhammad Robial Sobri memenangi kategori Putra H dengan menewaskan pesilat Singapura, Sheikh Ferdous Alaudin.

Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 yang telah berlansung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin. Kredit Foto – Zureehan Zakaria\Asiana.my

Satu lagi emas disumbangkan oleh Siti Humairah Kasidin yang menewaskan pesilat Singapura, Nurul Shafiqah Saiful 4-0 dalam kategori Putri B.

Hanya dua daripada lapan pesilat negara yang beraksi di final hari ini tewas dalam perlawanan akhir iaitu Siti Zubaidah Che Omar (Putri D) dan Amirul Basaruddin (Putra B).

Sebelum ini, Malaysia telahpun meraih tiga emas pada Jumaat menerusi Taqiyudin Hamid/Rosli Shariff (Ganda Lelaki), Afifi Nordin (Tunggal Lelaki) serta Nor Hamizah Abu Hassan/Nur Syazreen Malik (Ganda Wanita).

- Advertisement -