Keputusan untuk hanya menghantar pemain berusia 16 tahun berbanding pemain berusia 17 tahun ke Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 di Indonesia, April ini dibuat bagi memberikan skuad Harimau Malaya B-16 kendalian Shukor Adan persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November depan.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

“Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 ini sebenarnya dijadikan sebagai medan persiapan atau pemanas badan buat pasukan-pasukan di bawah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan beraksi pada Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi pada Mei depan.

“Lima pasukan iaitu Vietnam, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Australia menghantar skuad B-17 (lahir 2009) ke kejohanan ini kerana mereka layak ke Arab Saudi manakala Malaysia tidak layak selepas kita gagal pada pusingan kelayakan, November lalu.

“Jadi, kita telah membuat keputusan untuk Malaysia hanya menghantar skuad B-16 (lahir 2010) ke Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 ini bagi persiapan awal skuad Harimau Malaya B-16 menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November depan.

“Biarpun menghantar skuad yang muda setahun berbanding lima pasukan tersebut, saya yakin dan percaya pemain-pemain B-16 negara di bawah kendalian Shukor Adan ini tetap mampu memberikan cabaran yang hebat di Indonesia nanti,” kata Kim Swee.

Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 akan berlangsung di Jawa Timur, Indonesia dari 11 hingga 24 April 2026 dengan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste.

Kumpulan B menampilkan Thailand, Laos, Myanmar dan Filipina, manakala Kumpulan C dibarisi Australia, Kemboja, Singapura dan Brunei. – www.fam.org.my

- Advertisement -