Kemenangan 7-1 dalam aksi pembukaan ke atas China di Kejohanan Hoki Piala Asia 2017, Dhaka, Bangladesh bukan jaminan skuad kendalian Stephen Van Huizen.

Cabaran sebenar skuad kebangsaan adalah bertemu Korea Selatan yang juga juara bertahan kejohanan ini.

Diatas kertas, anak didik Van Huizen sudahpun layak beraksi di Piala Dunia 2018 yang dijadual berlangsung di Bhubaneswar, India bermula 24 November hingga 16 Disember tahun depan.

Korea Selatan yang dibimbing Kim Yoon Dong menjelaskan pasukannya masih dalam proses perubahan dan mereka sudah bersedia untuk mengharungi sekaligus mempertahankan Piala Asia tahun ini.

Meskipun sudah menjulang Piala Asia sebanyak empat kali pada 1993, 1999, 2009 dan 2013, Korea Selatan masih belum layak secara automatik ke Piala Dunia tahun depan.

Kim Yoon Dong sedar mereka memerlukan suntikan semangat dan keajaiban untuk memastikan kemenangan sehingga perlawanan akhir.

Pasukan yang menduduki ranking ke 13 dunia ini menduduki tangga ke 6 keseluruhan dalam saingan Trofi Juara Juara 2016, tempat ke 9 di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017, sekaligus menimbulkan persoalan tentang prestasi semasa pasukan itu.  

“Kami menjangkakan perlawanan yang sengit dengan Korea Selatan kerana kejohanan ini akan menjadi peluang terakhir mereka untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018,”kata Van Huizen.

Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan B menerusi perbezaan jaringan dimana skuad Van Huizen hanya bolos satu gol manakala Korea Selatan yang berada di tangga kedua bolos dua gol ketika menang ke atas Oman 7-2 pada Khamis.

Van Huizen juga mahu anak didiknya mengelakkan sebarang kesilapan yang mampu memberi peluang kepada lawan untuk mencipta gol sepanjang 60 minit perlawanan.

Finalis Piala Asia akan ditentukan oleh dua daripada empat  pasukan yang beraksi secara liga di dalam kumpulan Super Fours.

Empat pasukan ini adalah dua pasukan teratas bagi kumpulan A dan B, manakala dua pasukan terbawah di setiap kumpulan akan beraksi bagi perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Kumpulan A dihuni pasukan India, Jepun, Pakistan, dan Bangladesh manakala kumpulan B melibat saingan diantara Malaysia, Korea Selatan, China dan Oman. OLEH KU MOHD LUFTI 

 

Jadual Perlawanan Kejohanan Hoki Piala Asia 2017

14 Oktober 2017

Kumpulan B

China lwn Oman – 1500

Korea Selatan lwn Malaysia – 1730

**JADUAL ADALAH MENGIKUT WAKTU TEMPATAN 

 

15 Oktober 2017

Kumpulan A

Jepun lwn Bangladesh – 1500

Pakistan lwn India – 1730

 

 

- Advertisement -