Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyokong penuh kesediaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menganjurkan Liga Negara-Negara Asia, sepertimana dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya Datuk Windsor Paul John.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata penganjuran liga yang diilhamkan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) itu diketahui memberi banyak manfaat terutamanya di dalam melonjakkan semula ranking pasukan kebangsaan.

Yusoff bagaimanapun menekankan kajian secara menyeluruh perlu dibuat dan AFC perlu memberi pemahaman lebih jelas mengenai konsep liga berkenaan sebelum ianya dilaksanakan.

ā€œSudah tentunya tidak salah meniru benda yang baik dan berfaedah, dari segi baiknya kita tahu ia membekalkan pasukan kebangsaan dengan aksi persahabatan yang lebih baik dan kompetitif, boleh membantu menaikkan ranking dan sebagainya.

ā€œJadual aksi persahabatan dalam kalendar antarabangsa juga akan lebih teratur dan menjamin setiap pasukan mematuhi jadual perlawanan yang telah disusun AFC, jadi takkan timbul masalah pasukan membatalkan aksi perlawanan.

ā€œTetapi dari segi kelemahan kita kena selidik juga. Sebagai contoh, apabila ia diadakan di Eropah, benua itu tidak begitu besar malah jarak antara negara juga dekat. Ia berbeza dengan benua Asia, faktor logistik dan kesediaan semua pasukan untuk menempuh jarak perjalanan yang jauh perlu diambil kira,ā€ kata Yusoff.

Sebelum ini Windsor menyatakan kesediaan AFC untuk mempertimbangkan idea menganjurkan liga menggunakan format sama seperti Liga Negara-Negara Eropah yang bermula minggu ini membabitkan 55 negara Eropah yang berdaftar dengan UEFA.

Kesemua negara berkenaan dibahagikan kepada empat lapisan liga (Liga A,B,C, D) dengan pembahagian pasukan adalah berdasarkan kedudukan dalam ranking FIFA.

12 pasukan terbaik Eropah didahului oleh juara dunia Perancis berada dalam Liga A, 12 pasukan kedua terbaik di dalam Liga B, 15 pasukan seterusnya di dalam Liga C dan 16 pasukan terakhir berada dalam Liga D.

Sementara itu, seandainya penganjuran Liga Negara-Negara Asia itu menjadi kenyataan, Harimau Malaya yang berada di ranking 171 dunia dijangka akan berada dalam lapisan ketiga iaitu Liga C bersama-sama Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia dan Singapura.Ā – OLEH MUHAMMAD AIMANĀ 

- Advertisement -