Oleh Muhammad Aiman

Pasukan skuash negara akan mengharungi Kejohanan Skuash Asia Tenggara di Kuching dari 14 – 18 Februari depan tanpa kelibat dua pemain remaja meningkat naik, S.Sivasangari dan Andrea Lee.

Sivasangari, pemain berusia 18 tahun kelahiran Kedah mempunyai temujanji bersama kedutaan Amerika Syarikat pada 15 Februari bagi mendapatkan visa yang akan membolehkannya beraksi di Terbuka Texas (salah satu pertandingan dalam Jelajah Persatuan Skuash Professional, PSA) dari 28 Februari – 3 Mac depan.

Pertembungan tarikh itu menyaksikan Sivasangari, pemain remaja terbaik negara ketika ini di kedudukan ke-48 dunia membuat keputusan melupakan kejohanan yang turut dikenali sebagai Piala SEA itu.

“Saya gagal mendapatkan visa lebih awal dan kedutaan Amerika Syarikat memanggil untuk temuduga pada hari pertandingan,” katanya.

“Sudah tentu keutamaan saya ketika ini adalah beraksi di Jelajah PSA apatah lagi Terbuka Texas itu adalah pertandingan PSA 35 (kategori pertandingan),” tambah Sivasangari yang mengemudi cabaran Malaysia ketika merangkul Kejuaraan Skuash Berpasukan Remaja Asia di Hong Kong minggu lalu.

Selain Terbuka Texas, Sivasangari yang merangkul enam gelaran PSA pada tahun lalu akan turut bertanding di Terbuka Mingguan Wanita di Calgary, Kanada dari 7-12 Mac sebelum mengambil bahagian pula di Bahria Town International di Pakistan pada penghujung Mac.

Dalam pada itu, Andrea pula mengambil keputusan menarik diri bagi memberi sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan kecederaan ototnya yang dialami sejak beraksi di Kejohanan Remaja Asia.

“Saya telah berbincang dengan pengarah kejurulatihan, S.Maniam ketika di Hong Kong tempoh hari dan beliau bersetuju agar saya fokus untuk kembali cergas sepenuhnya terlebih dahulu kerana khuatir keadaan akan menjadi lebih buruk jika saya teruskan beraksi.”

Kedua-dua Sivasangari dan Andrea telah digantikan oleh Lai Wen Li dan Ooi Kah Yan, melengkapkan skuad yang sudah sedia dibarisi Rachel Arnold, Nazihah Anis, Aifa Azman dan Chan Yi Wen manakala bagi kategori lelaki pula, cabaran akan digalas oleh Ng Eain Yow, Syafiq Kamal, Adeen Idrakie, Sanjay Singh Chal, Marcus Sim dan Darren Rahul Pragasam.

- Advertisement -