gifu

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki negara tewas lagi, kali ini dengan jaringan 1-3 dalam aksi persahabatan kedua menentang Jepun di Stadium Gifu di Kakamihara.

The Speedy Tigers yang berada di negara matahari terbit itu untuk sesi latihan selama 10 hari, tampil dengan permainan lebih baik berbanding ketika tewas kekalahan 1-5 pada Rabu namun kelemahan dalam membuat keputusan di saat getir menyaksikan Malaysia berputih mata sekali lagi.

Jurulatih Stephen Van Huizen berkata, “Keputusan ini menunjukkan bahawa tanpa pemain utama, kita bergelut. Saya percaya ini peluang buat pemain-pemain muda untuk membuktikan sesuatu dan memahami apa kehendak hoki antarabangsa. Secara keseluruhan, masih banyak aspek yang perlu kita perbaiki,” ujar Van Huizen.

Tambahnya,  “Dari sudut postif, peningkatan itu dapat kita lihat. Saya perlu persiapkan pasukan sebaiknya untuk dua perlawanan ujian nanti. Kita perlu tunjukkan peningkatan secara signifikan jika mahu dapatkan satu keputusan baik.

“Saya yakin dua perlawanan yang telah kita harungi telah memberikan saya dan staff kejurulatihan gambaran menyeluruh tentang kekuatan skuad ini, tentang pemain-pemain.”

Seperti diketahui, Malaysia bertandang ke Jepun tanpa khidmat antaranya ketua pasukan Razie Rahim, Nabil Fiqri, S.Kumar, Shahril Saabah dan Fitri Shaari.

Pada perlawanan kedua yang berlangsung Khamis, Malaysia mendahului menerusi jaringan Harvinder Singh pada minit ke-12 namun gagal mempertahankan kelebihan itu apabila membenarkan Jepun bangkit menjaringkan tiga gol di penghujung separuh masa kedua.

Perlawanan ujian yang pertama antara Malaysia -Jepun, akan berlangsung pada Sabtu, 11 Jun.

- Advertisement -