Walaupun dianggap tidak akan berdepan masalah besar untuk menewaskan Timor Leste dalam aksi pembukaan Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Vietnam pada Khamis, skuad futsal negara tetap tidak mengambil mudah cabaran pasukan lawannya itu.

Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong berkata walaupun Timor Leste dilihat sebagai pasukan paling lemah berbanding dua lagi pencabar iaitu Laos dan Thailand, strategi terbaik perlu disusun agar pasukan negara dapat memulakan kempen dengan langkah kanan.

Selepas Timor Leste, pasukan negara dijadual berdepan Laos pada Jumaat dan menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan menentang juara bertahan yang juga juara 15 kali, Thailand pada Sabtu.

ā€œSaya tahu sudah tentu tumpuan semua adalah perlawanan menentang Thailand tetapi Timor Leste juga pastinya datang dengan persiapan rapi untuk mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir tahun lalu. Jadi pada saya tiada pasukan boleh kita ambil mudah malah mungkin dihukum jika leka.

ā€œKita perlu menang dua perlawanan pertama agar dapat sahkan tempat di separuh akhir dan berdepan Thailand tanpa tekanan. Itu sasaran awal kita dan saya percaya kita ada kualiti untuk lakukannya. Apa yang penting adalah kita kena kekal fokus,ā€ kata Chun Yong.

Kejayaan layak ke kelompok empat terbaik akan mengesahkan tempat buat pasukan negara di Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Taiwan justeru Chun Yong telah menyenaraikan senarai 14 pemain terbaik untuk memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.

12 daripadanya adalah anggota skuad pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala dua lagi pemain adalah pemain tonggak yang kembali dari kecederaan Saifulnizam Mohd Ali dan Farikh Khabibor Rahman.

Pencapaian terbaik skuad negara di Kejuaraan Futsal AFF adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 2003, 2005 dan 2010 manakala pada dua edisi terdahulu 2015 dan 2016, Malaysia berkesudahan selaku pemenang pingat gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -