Tan Kian Meng

Oleh Muhammad Aiman

Masalah kecederaan tampak seperti tidak berpenghujung bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas Goh Jin Wei dan Dato’ Lee Chong Wei, kini giliran pemain perseorangan nombor dua Iskandar Zulkarnain dan pemain beregu campuran, Tan Kian Meng pula disahkan mengalami kecederaan.

Ini bermakna kedua-duanya tersisih dari Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Vietnam minggu depan manakala Iskandar dijangka turut terlepas kejohanan berprestij All England yang dijadual berlangsung awal bulan depan.  

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, “Iskandar mengalami kesakitan di bahagian tulang belakang dan masalah itu agak serius berbanding jangkaan awal kami sementara Kian Meng mengalami kecederaan di lutut kiri.

“Sekali lagi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak boleh mengambil sebarang risiko kerana pemeriksaan mendapati hasilnya tidak berapa baik dan doktor menasihatkannya untuk menjalani sesi pemulihan.”

Frost mengakui ketiadaan Iskandar dan Kian Meng merupakan satu tamparan namun dalam masa sama optimis betapa Soong Joo Ven yang dinamakan sebagai pengganti Iskandar akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Kita kehilangan pemain-pemain tonggak yang mana sebelum ini disenaraikan dengan mengambil kira faktor usia dan pendedahan yang bakal mereka dapat. Sudah tentunya ketiadaan mereka ini sedikit menganggu perancangan kita tetapi tengoklah nanti apa berlaku. Ini masanya pengganti yang kita namakan buktikan keupayaan mereka,” kata Frost.

Dalam perkembangan lain, Frost berkata Chong Wei yang mengalami kecederaan lutut minggu lalu sudahpun turun menjalani latihan ringan dengan dipantau oleh pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara sekaligus memberi bayangan pemain nombor satu dunia itu sempat pulih untuk beraksi di All England.

“Kami belum mengeluarkan namanya daripada senarai ke All England kerana dia masih menunjukkan perkembangan yang baik dan berpeluang untuk cergas sepenuhnya. Buat masa ini hanya Iskandar dan Jin Wei yang sudah sah tidak akan disenaraikan.

- Advertisement -