philmas-2

Oleh Muhammad Aiman

Kegagalan dua pasukan bawah umur negara iaitu skuad B-16 di pusingan akhir Piala AFC di India dan skuad B-19 tahun di Kejohanan AFF di Vietnam baru-baru ini membuktikan masih terlalu banyak kepincangan dalam program pembangunan bolasepak negara.

Kedua-dua pasukan mencatat pencapaian yang jauh berbeza berbanding sebelum ini dan dan situasi ini perlu diambil serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pasukan B-16 bimbingan P.Somasundram tersingkir awal setelah menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan hanya satu mata – mereka tewas 0-3 masing-masing kepada Oman dan Korea Selatan serta seri 1-1 menentang Iraq.

Dua tahun lalu di Thailand, Malaysia (Harimau Muda D) bimbingan S.Balachandran menunjukkan aksi bertenaga dengan menewaskan Oman (2-1) dan Thailand (1-0) untuk muncul naib juara peringkat kumpulan di belakang Korea Selatan.

Malah pasukan itu hampir melakar sejarah melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 di Chile jika tidak dikecewakan dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Australia di suku akhir.

Cerita sama turut menyelubungi pasukan B-19 kendalian Frank Bernhardt yang turut gagal melepasi saingan peringkat kumpulan gara-gara kekalahan mengejut kepada Timor Leste (2-3) dan tuan rumah Vietnam (1-3) meskipun memulakan saingan dengan langkah kanan menewaskan Filipina (5-0) dan Singapura (2-1).

Tahun lalu ketika di Laos, Malaysia (Harimau Muda C) layak sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Thailand dan kemudiannya menamatkan kejohanan di kedudukan keempat setelah tewas kepada Laos.

Ironinya, skuad B-22 tahun negara yang bakal mengalas cabaran negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 turut belum dapat menunjukkan perkembangan meyakinkan apabila tewas empat daripada lapan perlawanan persahabatan yang telah dilalui.   

Dengan tinggal kurang setahun sebelum berlangsungnya temasya dwitahunan itu, kita sepatutnya sudah mempunyai sebuah skuad mantap untuk menepati hasrat merampas semula pingat emas di bumi sendiri, namun sebaliknya kegagalan demi kegagalan yang disajikan di semua peringkat – baik senior mahupun pasukan pelapis.

Ramai mengaitkan ianya berpunca dari kesilapan FAM sendiri yang membubarkan program Harimau Muda merangkumi empat pasukan iaitu Harimau Muda A (B-23), B (B-21), C (B-19) dan D (B-17) bermula penghujung tahun lalu.  

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai program pembangunan yang lebih tersusun termasuk persiapan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan Sea.

“Ada beberapa cadangan penyelesaian untuk mempersiapkan skuad Sukan Sea KL2017. Pengurusan pasukan telah mencapai kata sepakat bersama pasukan-pasukan negeri untuk membenarkan pemain-pemain B-22 mereka menyertai latihan pusat apabila sahaja mereka dipanggil, bukannya secara tetap,” kata Hamidin yang ditemui pemberita selepas menerima bola ‘ultra-durable’ dari Pengarah Komunikasi Konfederasi Bolasepak Asia, Colin Gibson di Wisma FAM pada Sabtu.

Bernhardt sebelum ini secara terus-terang mengatakan peluang Malaysia meraih emas Sukan SEA adalah tipis jika tidak didedahkan dengan lebih banyak perlawanan kompetitif – dia yang mula melatih pasukan sejak awal tahun ini hanya pernah mengumpulkan pemainnya untuk latihan pusat beberapa kali.

Ketika awal pengendali dari Jerman itu dilantik, terdapat cadangan bahawa skuad Projek Sukan SEA akan bermain sama ada dalam Liga Super atau Liga Premier sebagai pendedahan untuk mereka, namun cadangan itu kemudiannya tidak menjadi kenyataan kerana tiada pasukan-pasukan negeri mahu melepaskan pemain mereka.

Untuk rekod, ketika Datuk K.Rajagobal dan Dato’ Ong Kim Swee melakar gemilang membawa pulang emas pada 2009 (Laos) dan 2011 (Palembang), kejayaan mereka bertunjangkan kepada kekuatan skuad Harimau Muda yang meraih pengalaman beraksi di Liga Malaysia.  

Justeru, dengan masa yang semakin suntuk serta kepincangan dalam mengatur program pembangunan, masih relevankah sasaran emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017? 

- Advertisement -