MASOC Terima Kereta Rasmi SEA Gamees KL2017 Daripada Naza
Naza Corporation Holdings serahkan kumpulan pertama kereta rasmi KL2017 kepada Jawatakuasa Pengelola Malaysia(MASOC) Kuala Lumpur 2017. Foto Kredit – Kamarul Akhir / www.asiana.my

JAWATANKUASA Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 menerima kereta rasmi bagi penggunaan temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 – KL2017) daripada penaja platinum KL2017, Naza Corporation Holdings di dalam sebuah majlis yang diadakan di ruang pameran Peugeot di Glenmarie, Shah Alam pada 25 Mei 2017.

Naza telah menyerahkan kumpulan pertama kereta rasmi KL2017 yang melibatkan sejumlah 18 buah kereta dengan model Peugeot 408, Peugeot 508 dan Traveller yang dibalut dengan jenama KL2017. Baki 280 buah kenderaan lagi akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC) pada tarikh yang lain.

Secara keseluruhannya, penajaan Naza merangkumi penyediaan 298 Kereta Rasmi KL2017 yang akan membawa Ketua Negara, Menteri, para Chef de Mission, pegawai kanan, ahli sukan dan kumpulan sukarelawan semasa KL2017.

MASOC Terima Kereta Rasmi SEA Gamees KL2017 Daripada Naza
“Penerimaan kenderaan rasmi KL2017 pada hari ini akan banyak membantu Jawatankuasa Pengangkutan yang sedang memperkemaskan urusan logistik untuk temasya nanti.”, Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin. Foto Kredit – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin menerima kereta tersebut bagi pihak MASOC daripada Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, Encik SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin.

Turut hadir di majlis hari ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong; Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza World, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin serta Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, Encik SM Faliq Tan Sri SM Nasimuddin.

Berucap di majlis berkenaan, Menteri Belia dan Sukan tersebut berkata, “Tekanan semakin meningkat apabila kita semakin hampir dengan temasya. MASOC bersama 17 jawatankuasa di bawahnya telah melipat gandakan usaha dalam beberapa bulan ini. Penerimaan kenderaan rasmi KL2017 pada hari ini akan banyak membantu Jawatankuasa Pengangkutan yang sedang memperkemaskan urusan logistik untuk temasya nanti.”

MASOC Terima Kereta Rasmi SEA Gamees KL2017 Daripada Naza
Naza telah menyerahkan kumpulan pertama kereta rasmi KL2017 yang melibatkan sejumlah 18 buah kereta dengan model Peugeot 408, Peugeot 508 dan Traveller yang dibalut dengan jenama KL2017. Foto Kredit – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Di dalam majlis yang sama, YB Brig. Jen. Khairy turut menandatangani pledge car sebagai simbol kepada permulaan kempen yang dianjurkan oleh Peugeot untuk menyatukan rakyat Malaysia di dalam memberikan sokongan mereka kepada atlet negara yang beraksi di dalam KL2017. Naza dan Peugeot akan memberikan 100 tiket percuma kepada 50 orang pemenang bertuah untuk menghadiri upacara pembukaan KL2017 pada Ogos nanti.

Untuk memenangi tiket tersebut, orang ramai hanya perlu bergambar dengan pledge car tersebut, tuliskan mesej atau kepsyen berserta dengan hashtag #PeugeotMalaysia, #DrivingChampions dan #nazacorp apabila mereka memuatnaik gambar tersebut di media sosial.

YB Brig. Jen. Khairy turut menyifatkan bahawa fasa terakhir ini adalah masa yang terbaik untuk memobilisasikan sokongan rakyat kepada para atlet negara kita. “Adalah diharapkan agar dengan adanya inisiatif ini, ianya dapat menyediakan platform dan memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian di dalam temasya sukan ini dalam apa jua cara yang termampu,” kata YB Brig. Jen. Khairy.

“Jika kita mahu muncul sebagai juara keseluruhan, usaha tersebut perlu datang bukan hanya daripada para atlet, tetapi daripada kita semua rakyat Malaysia sama ada penyokong ataupun para peminat sukan tanah air,” tambah beliau lagi.

KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.

- Advertisement -