Badminton menghadiahkan dua pingat emas terakhir buat kontijen negara di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada hari terakhir temasya di Carrara Sports and Leisure Center sebentar tadi. 

Jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menceriakan kem negara dengan menghadiahkan pingat emas keenam setelah menewaskan pemain nombor satu dunia Srikanth Kidambi dalam aksi final perseorangan lelaki dan ia kemudiannya disusuli emas ketujuh menerusi gandingan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo.

Di hadapan ribuan peminat yang hadir memberi sokongan, Chong Wei membuktikan usia tidak sedikitpun melunturkan semangat dan motivasinya sebaliknya tampil dengan karakter sang juara untuk bangkit dari kekalahan set pertama sebelum menang 19-21, 21-14, 21-14 dalam masa 65 minit.

Ia juga sekaligus membalas dendam kekalahan Chong Wei kepada Srikanth dalam aksi berpasukan campuran pada Isnin lalu yang mana menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dan sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Lebih manis, ini adalah kali ketiga Chong Wei mengenggam pingat emas dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel setelah turut melakukannya pada edisi 2010 di New Delhi dan 2006 di Melbourne.

Untuk rekod dalam lapan edisi yang lalu sejak New Zealand 1990, Malaysia hanya sekali gagal memenangi pingat emas iaitu pada edisi Glasgow 2014 setelah kedua-dua wakil Chong Wei Feng dan Daren Liew kecundang di peringkat suku akhir.

Mei Kuan-Vivian pula menang emas dengan menewaskan pasangan Lauren Smith-Sarah Walker 21-12, 21-12 dan mempertahankan pingat emas dimenangi Malaysia menerusi gandingan Vivian-Woon Khe Wei di Glasgow 2014.

Terdahulu pada Sabtu, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying telahpun menghadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia.

Secara keseluruhannya, skuad badminton negara pulang dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa sekaligus gagal menepati sasaran awal tiga pingat emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -