MELAKA berada pada kedudukan selesa dalam saingan wanita selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sarawak pada kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2020 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Kemenangan kedua itu meletakkan Melaka sebagai pendahulu dalam Kumpulan B dengan catatan enam mata diikuti Pahang pada kedudukan kedua. 

Jaringan penyerang Nurul Aqilah Izzati Hasnawi pada minit ke-22, Nur Aisyah Yaacob (min 44) dan Nurliyana Mohd Kip (min 47) cukup untuk meranapkan harapan Sarawak yang kini berada di tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang mata. 

“Perlawanan menentang Pahang esok amat penting untuk kami benar-benar menjamin kedudukan selain merealisasikan sasaran empat teratas,” kata ketua pasukan Melaka Nur Aisyah Yaacob.

Negeri Sembilan pula mengutip mata pertama selepas seri 2-2 dengan ATM yang menyaksikan saingan dalam Kumpulan C terbuka luas.  Perlawanan nyata sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang tempoh permainan. 

ATM membuka jaringan menerusi  Nurul Asyahadah Sapawai lapan minit selepas wisel mula sebelum Negeri Sembilan membalas menyamakan kedudukan menerusi Nurfarra Firdayu Hamidy empat minit kemudian. 

ATM kembali di depan menerusi Surizan Awang Noh (min-28) namun Negeri Sembilan bangkit di saat akhir untuk memastikan satu mata menerusi jaringan strok penalti Fatin Dizana Mohd Zaidi pada minit ke-58. 

Kuala Lumpur pula boleh menarik nafas lega selepas meraih mata penuh dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang dalam Kumpulan B dengan Kirandeep Kaur menjadi tunjang utama menghasilkan kemenangan pada minit ke-57 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pahang sebelum itu mendahului menerusi jaringan padang Hanis Nadia Onn sebelum Nur Zafirah Aziz menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29 untuk menyamakan kedudukan buat Kuala Lumpur. 

Kapten pasukan Kuala Lumpur, Nurazlin Sumantri lega dengan kebangkitan semula pasukan itu selepas kekalahan di tangan Melaka pada perlawanan pertama: “Kami belajar dari kesilapan dan bermain dengan rentak dan pendekatan yang berlainan,” kata beliau sambil berharap rakan sepasukan tidak leka dalam perlawanan hidup mati menentang Serawak nanti. 

 

KEPUTUSAN (WANITA) AHAD, 20 SEPT

KUMPULAN B

Kuala Lumpur mln Pahang 2-1

Melaka mln Sarawak 3-0

KUMPULAN C

ATM mln Negeri Sembilan 0-0

 

JADUAL PERTANDINGAN HARI KE-4 (WANITA): ISNIN, 21 SEPT

Kumpulan A:

Perak mln Selangor

Pulau Pinang mln Terengganu

Kumpulan B: 

Kuala Lumpur mln Sarawak 

Melaka mln Pahang

- Advertisement -