Langkah yang diambil oleh Menteri Besar Kedah terhadap masalah yang sedang membelenggu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat tepat meskipun ia bakal menjejaskan suasana dalaman persatuan tersebut.

Pemain dan pegawai KFA dikhabarkan masih belum menerima tunggakan gaji yang sudah tertangguh selama lima bulan sejak Februari lalu dengan alasan pandemik Covid 19.

Cerita yang sama, kerajaan negeri dipinta untuk menyelesaikan isu ini setiap kali hutang membelenggu pasukan atau kelab.

Namun Kedah tampil dengan kaedah berbeza dimana Sanusi menegaskan bantuan tidak harus datang daripada kerajaan negeri yang mengutamakan masalah rakyat.

Tindakan Sanusi wajar diberi pujian kerana berani mengambil risiko untuk mengetapikan kerajaan negeri untuk menghulurkan bantuan sekaligus mencerminkan sikap profesional sebagai peneraju KFA yang baru.

Muhammad Sanusi dilantik sebagai Presiden KFA yang baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA 2020, 12 Julai lalu.

Malah, beliau lantang menyuarakan tindakan pengurusan terdahulu sehingga menyebabkan KFA menanggung hutang yang bukan hanya melibatkan tunggakan gaji pemain tetapi tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan penyedia tiket pengangkutan pasukan dengan nilai RM 10.6 juta.

Beliau mendedahkan kontrak gaji pemain sehingga RM120,000 dianggap sebagai tidak munasabah dan bukan bergantung atas kapasiti kemampuan pasukan.

Sanusi ketika berkata kepada media menjelaskan beliau tidak akan menggunakan peruntukkan yang ada pada kerajaan negeri yang mahu membantu golongan yang lebih memerlukan terutama ketika negara sedang dalam fasa pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Tambahnya lagi KFA akan mengadakan mesyuarat pada 3 Ogos depan untuk mencari jalan keluar berhubung kemelut yang sedang melanda persatuan itu.

Malah, Sanusi tidak menolak akan melakukan pemotongan gaji mengikut keupayaan KFA dan tidak akan menghalang mana mana pemain yang tidak bersetuju dengan tindakannya jika menganggap bayaran yang diterima tidak setimpal.

Meskipun ‘perit’ untuk didengar samada pasukan mahupun barisan pegawai dalam KFA, ia memberi peringatan yang cukup keras khusus kepada pasukan atau kelab yang lain untuk berpijak dibumi yang nyata.

Pengurusan yang profesional bukan hanya pada nama pasukan tetapi pengurusan yang bijak dan berhemat dalam menguruskan pasukan.

Pemilik kelab Johor Darul Takzim menerusi akaun twitternya pernah menyebut,’Kelab perlu mempunyai displin untuk berbelanja…’.

Cukuplah untuk menjadikan Covid 19 sebagai alasan, kini masa untuk terus melangkah kehadapan dengan cara yang betul.

 

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Pulai Pinangn (PFA) tampil dengan cerita yang berbeza dimana kerajaan negeri menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu bagi bulan April hingga Jun.

Perkara tersebut disahkan Presiden PFA, Dr Amar Pritpal Abdullah dimana tunggakan gaji melibatkan kos RM 12 juta dan akan dibayar pada pertengahan bulan Ogos.

Malah, beliau berharap ia menjadi suntikan moral dan menaikkan kembali semangat pemain dan pegawai untuk mengharungi saingan Liuga Premier 2020 yang dijangka bermula pada Ogos.

Pulau Pinang menghuni tangga ketiga Liga Premier selepas beraksi 4 perlawanan pada awal tahun, berkongsi 8 mata dengan Kuala Lumpur yang menghuni tangga keempat.

Tambah Amar lagi, tidak mustahil untuk Pulau Pinang ke saingan Liga Super musim depan jika berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam baki saingan Liga Premier.

Diharapkan ‘pemulihan’ yang dilakukan oleh kerajaan negeri bukan bermakna pengurusan PFA boleh menarik nafas lega dan menyaksikan perlawanan.

 

 

- Advertisement -