Malaysian Football League (MFL) telah bersetuju untuk meminda tarikh perlawanan CIMB Liga Super melibatkan Kedah dan Melaka di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, perlawanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini (2 Oktober 2020) telah dipinda pada Ahad (4 Oktober 2020).

Jelas Dato’ Ab Ghani, keputusan itu dicapai selepas menerima permohonan daripada pasukan Melaka yang sedang menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah bermula 28 September lalu sehingga hari ini.

Selaras pematuhan Operasi Standard Prosedur (SOP) COVID-19 Liga Malaysia, Dato’ Ab Ghani menjelaskan bahawa perubahan tarikh perlawanan ke-10 liga itu bagi membolehkan Melaka memiliki tempoh masa melakukan persiapan memandangkan mereka hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan sebaik mendapatkan keputusan ujian COVID-19, esok.

“Saya telah dimaklumkan daripada pihak Melaka bahawa pasukan mereka telah menjalani kuarantin di hotel berdekatan Bandar Melaka selama tiga hari di mana mereka telah menjalani dua ujian calitan COVID-19 pada 27 dan 29 September lalu.

“Keputusan ujian COVID-19 pada 29 September itu akan dikeluarkan esok dan kemudian Melaka akan dibenarkan untuk memulakan latihan selepas mendapat keputusan ujian saringan itu.

“Jadi, MFL telah menilai dan mengambil setiap pertimbangan daripada pasukan Melaka yang memohon mendapatkan masa rehat yang cukup serta menjalani latihan dan MFL telah bersetuju untuk meminda tarikh aksi CIMB Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu pada Ahad ini.

“Keputusan untuk meminda tarikh perlawanan ini juga turut mendapat persetujuan Kedah yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta memahami kesukaran yang dihadapi Melaka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kesemua pasukan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian Liga Malaysia sentiasa dalam keadaan terjamin.

“Saingan CIMB Liga Super semakin hampir ke kemuncak jadi saya berharap agar semua pasukan terus meningkatkan tahap pematuhan SOP untuk kita sama-sama mengekang penularan pandemik COVID-19. Kita semua tidak boleh leka kerana kita belum bebas daripada ancaman wabak ini.

“Bersama-sama kita terus berdisiplin mematuhi SOP COVID-19 dan berdoa untuk kesejahteraan kita semua,” katanya.

- Advertisement -