foto – Northern Lions Perlis

 

Drama melibatkan pasukan yang berpengkalan di utara tanah air, Perlis berakhir hari ini selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan pasukan itu dalam Liga Malaysia 2019.

Pembatalan itu berkuat kuasa serta merta selepas Ahli Lembaga Pengarahnya meneliti dokumen kewangan yang diserahkan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Menerusi kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, segala dokumen tersebut diserahkan kepada MFL pada 18 Februari lepas.

“Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini,” kata Kevin.

Tambah Kevin lagi,  Ahli Lembaga Pengarah MFL prihatin dengan nasib yang menimpa pemain pemain Perlis dan memutuskan  untuk melanjutkan tempoh pendaftaran 30 hari bermula hari ini untuk urusan perpindahan ke pasukan lain.

Komen Ketua Pegawai Eksekutif MFL – Kevin Ramalingam

 

 

Jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2019 dijadualkan tamat pada hari ini.

Bukan Perlis sahaja, enam lagi pasukan yang turut berdepan masalah tunggakan gaji masih dalam perhatian MFL dan keputusan akan diumumkan kelak.

Kontroversi Perlis bermula selepas diberikan slot ke Liga Premier 2019 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan MIFA FC  yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super 2019 susulan penarikan diri Felcra FC.

Perlis berjaya menambat hati MFL selepas membentangkan dokumen perancangan pasukan termasuk aspek kewangan serta kekuatan penyokong.

Disebalik keputusan ini, jelas sekali MFL perlukan keputusan, perbincangan yang lebih efisien serta lebih pantas kerana kelewatan membuat keputusan sedangkan liga sudahpun bermula dan pemain pemain sudah mengikat kontrak bersama pasukan tersebut.

Dengan kekangan kewangan selain perbelanjaan berhemat, peluang untuk pemain pemain Perlis dipancing pasukan lain mungkin sedikit sukar.

 

- Advertisement -