#KHM sebulat suara lantik Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih The Speedy Tigers yang baru

 

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima dengan hati yang terbuka berhubung keputusan Roelant Oltmans yang memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan.

Malah, kedua dua pihak telah mencapai persetujuan secara tenang dan profesional tanpa melibatkan sebarang implikasi yang tidak baik melibatkan kedua dua pihak.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal ketika sidang media di Bukit Jalil menjelaskan, faktor pandemik Covid 19 selain berjauhan dengan keluarga menjadi faktor pengendali berusia 66 tahun itu memutuskan untuk melepaskan jawatannya.

 

“Hari ini KHM ingin mengumumkan secara rasmi Roelant Oltmans tidak lagi memegang jawatan Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan dan ianya adalah berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak. Kami juga menghargai jasa beliau sepanjang dua tahun berkhidmat.

“Pihak KHM juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan kepada skuad kebangsaan dan kami juga mengucapkan semoga berjaya kepada beliau dalam apa jua yang beliau lakukan selepas ini,”kata Datuk Seri Subahan Kamal.

Pengendali kelahiran Belanda itu memikul tugas sebagai ketua Jurulatih The Speedy Tigers pada 2018 selepas Malaysia tewas kepada Jepun dalam penentuan pingat emas di Sukan Asia di Jakarta sekaligus gagal layak ke sukan Olimpik Tokyo 2020 secara automatik.

Kontrak Roelant Oltmans dijangka tamat pada penghujung tahun ini dan sasaran yang diletakkan kepadanya adalah mara ke final Trofi Kejuaraan Asia (ACT) yang dijadual berlangsung di Dhakkar, Bangladesh pada November.

Keputusan perletakkan jawatan Roelant Oltmans bermakna Arul Selvaraj yang dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih akan menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih baru The Speedy Tigers.

“Selepas Jawatankuasa Kejurulatihan bermesyuarat, kami secara rasminya melantik Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang baru berkuatkuasa serta merta. Namun Arul akan memulakan tugasnya pada 15 Ogos ini selepas beliau menamatkan tempoh kuarantin wajib selepas tiba di Malaysia daripada Dublin.

“Arul diberikan kontrak dua tahun dan beliau akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan- kejohanan yang akan datang. Arul juga akan diberikan peluang untuk memilih pemain yang beliau rasakan perlu untuk berada di dalam pasukan kebangsaan,”katanya lagi.

Sementara menanti kehadiran Arul Selvaraj daripada Dublin, Ireland, tanggungjawab untuk meneruskan sesi latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan digalas oleh Penolong Jurulatih, Muhammad Amin Rahim bersama Nasihin Nubli Ibrahim

 

 

 

- Advertisement -