MHC.logoOleh Ku Mohd Lufti

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan pertandingan kalah mati yang baharu dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun ini melibatkan 14 pasukan dari Divisyen Satu dan Divisyen Premier.

Timbalan Presiden PHM George Koshy berkata format baharu itu akan memberikan lebih banyak masa beraksi kepada pasukan-passukan Divisyen Satu dan Divisyen Premier selain mewujudkan pertandingan yang lebih kompetitif.

“Dalam pertandingan kalah mati yang baharu ini, tiada satupun daripada 14 pasukan dalam pertandingan kalah mati khas diletakkan sebagai pilihan.

“Kami akan mengadakan undian baharu selepas setiap pusingan dan pasukan Divisyen Premier mungkin akan menentang satu sama lain,” kata George Koshy.

Beliau berkata pertandingan kalah mati akan diadakan pada Selasa sementara perlawanan Liga Divisyen Satu dan Divisyen Premier akan berlangsung pada hujung minggu.

George yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan berkata pasukan Divisyen Premier boleh menurunkan enam pemain asing tetapi tiada sekatan ke atas bilangan pemain kebangsaan.

“Hanya lapan pemain (enam pemain asing dan dua pemain kebangsaan) dibenarkan beraksi dalam setiap perlawanan.

“Untuk Divisyen Satu dan Liga Wanita, setiap pasukan dibenarkan dibarisi lima pemain asing tetapi dua daripada mereka mesti dari negara anggota Asean,” katanya.

George juga berkata jumlah hadiah Divisyen Premier, Divisyen Satu dan Liga Wanita telah ditambah sebanyak RM139,000 kepada RM653,000.

Perlawanan pusingan pertama pertandingan kalah mati baharu itu akan berlangsung pada 23 Ogos, suku akhir (30 Ogos), separuh akhir (6 Sept) dan final (13 Sept).

Mengikut format, hanya juara berganda Divisyen Premier Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan pemenang Piala Sumbangsih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mendapat bye dalam pusingan pertama.

Saingan Divisyen Satu akan bermula pada 5 Ogos dan Liga wanita bermula pada 11 Ogos sementara Divisyen Premier hanya bermula pada 19 Ogos disebabkan Sukan Olimpik Rio de Janiero.

“Kesemua saingan Divisyen Premier, Divisyen Satu dan Liga Wanita akan berakhir menjelang 25 Sept lerana pasukan lelaki dan wanita kebangsaan akan beraksi dalam Liga Kebangsaan Australia (ANL) dari 29 Sept hingga 10 Okt,” katanya lagi.

- Advertisement -