SASARAN merangkul kejuaraan berganda menjadi kenyataan buat Terengganu Hockey Team (THT) apabila menewaskan pesaing utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 untuk menjulang kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 dalam aksi sengit di Kuala Terengganu hari ini.

Penyerang kebangsaan dan penjaring terbanyak liga Faizal Saari, yang memang sentiasa diharapkan untuk melakukan sesuatu pada saat-saat genting, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan THT selepas terikat 2-2.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sorakan penyokong tempatan di Stadium Hoki Batu Burok digunakan sepenuhnya skuad kendalian Roslan Jamaluddin untuk menjinakkan TNB biarpun pada satu ketika ketinggalan satu gol.

THT, yang sebelum ini merangkul Piala Sumbangsih menewaskan TNB 3-2, turun tanpa pilihan lain kecuali menang, manakala seri sudah memadai buat TNB bergelar juara.

Latihan keras memantapkan peluang jaringan dari sudut penalti sepanjang tempoh rehat dua hari oleh jurulatih Roslan Jamaluddin ternyata berhasil, apabila Faizal meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki tiga minit.

TNB tampak yakin terutama selepas membuka jaringan pendahuluan menerusi jaringan sudut penalti Azril Misron selepas 11 minit permainan bermula.

Titik perubahan strategi THT bermula apabila Mohamad Firdaus Omar menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-30 sebelum Faizal meletakkan THT di depan pada minit ke-48.

Namun, TNB kembali memberi tekanan apabila Shahril Saabah menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Dengan baki tiga minit, tampak seperti kejuaraan bakal menjadi milik TNB tetapi Faizal meranapkan impian skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu dengan jaringan kemenangan, kekal 3-2 hingga tamat permainan.

Roslan, ketika ditemui selepas perlawanan lega dan terharu dengan kejayaan anak-anak buahnya meraih dua piala setakat ini. “Ini satu kejayaan amat bermakna, terharu dan bersyukur sebab dalam musim pertama saya dengan THT, berjaya julang dua kejuaraan,” kata Roslan.

“Kejayaan ini tidak terhenti di sini kerana sasaran seterusnya ialah Piala TNB dan cabaran pertama, untuk melepasi tentangan UiTM HA pada separuh akhir pertama Jumaat ini.

“Kami percaya UiTM mampu bangkit dan kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka kerana apa sahaja boleh berlaku di atas padang,” kata Roslan.

Pada perlawanan lain, Maybank mengakhiri kempen liga dengan berpesta gol 8-1 ke atasNurinsafi Sporting untuk meraih kedudukan ketiga liga, lima mata di belakang TNB.

“Kemenangan ini memberi petanda positif dan memberi semangat berdepan dengan TNB pada separuh akhir Jumaat ini. Peluang 50-50, tetapi kami akan bersedia hadapi TNB yang pasti mahu menebus kekecewaan gagal muncul juara liga,” kata jurulatih Azrul Effendy Bistamam.

UiTM HA pula mengakhiri kempen dengan kemenangan 5-3 ke atas TNB Thunderboltsdan bertekad melakukan kejutan berdepan dengan THT pada separuh akhir nanti.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain saya kerana sebelum ini membuktikan mampu mengikat THT pada saingan liga. Tempoh rehat dua hari ini akan digunakan sepenuhnya untu kmenyusun strategi khusus,” kata pengendali Shaiful Azli Rahman.

 

Jadual Perlawanan

Separuh Akhir 1: Jumaat, 25 Mac

THT mln UiTM (5 ptg) NHS 1

TNB mln Maybank (5 ptg) NHS 2

Separuh Akhir 2: Isnin, 28 Mac

Maybank mln TNB (5 ptg) NHS 1

UiTM mln THT (5 ptg) NHS 2

- Advertisement -