misc-mifa-pknp

Oleh Muhammad Aiman

Peluang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menterbalikkan defisit jaringan dalam aksi final Piala FAM kedua yang akan berlangsung pada Khamis menerima tamparan hebat setelah MISC-MIFA mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Isu yang ditimbulkan MIFA adalah PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim telah menurunkan G.Mugenthiran yang sepatutnya menjalani penggantungan perlawanan ketika kedua-dua pasukan bertemu di Shah Alam minggu lalu.

Perlawanan itu dimenangi MIFA dengan jaringan 1-0 hasil jaringan penalti minit akhir R.Thipenraj, dan sekiranya FAM menerima bantahan itu maka skuad kendalian Jacob Joseph itu akan membawa kelebihan 3-0 (kemenangan percuma) bagi aksi timbal balik di Ipoh.

Untuk rekod, Mugenthiran yang pernah menyarung jersi Perak dikatakan telah menerima layangan kad kuning pertama ketika aksi suku akhir menentang Sungai Ara FC (7 September) manakala satu lagi kad kuning ketika aksi separuh akhir menentang Felcra FC pada 9 Oktober.

Menurut pengurus pasukan MIFA, S.Arumugam, “Kita telah hantar bantahan pada Selasa, berdasarkan peraturan perlawanan ditetapkan FAM, mana-mana pemain yang mengumpul dua kad kuning di peringkat kalah mati, secara automatik tidak layak diturunkan pada perlawanan berikutnya.

”Kami memandang serius insiden yang berlaku dan telah mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menyokong fakta yang disediakan termasuk laporan perlawanan dan rakaman video melibatkan perlawanan tersebut. Kami amat berharap FAM akan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan keputusan bantahan ini dilihat bakal memberi kesan kepada penentuan aksi akhir kedua yang akan berlangsung di Ipoh esok.”

MIFA melangkah ke perlawanan akhir setelah menundukkan AirAsia Allstars FC dengan agregat 2-1 di separuh akhir manakala PKNP mara setelah menyingkirkan  Felcra dengan keputusan 3-2.

Kedua-dua pasukan telahpun mendapat tiket beraksi di Liga Premier musim depan.

- Advertisement -