Piala Sultan Azlan Shah 2016

Oleh Muhammad Aiman

Setelah dikecewakan Kanada dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan keempat Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 pada Selasa, skuad hoki kebangsaan turun menentang Pakistan malam ini dengan menyedari apa jua keputusan selain kemenangan akan menjejaskan peluang untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu.

The Speedy Tigers ketika ini berada di tangga kelima dengan mengutip lima mata pada ketika tingga hanya dua lagi perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Pakistan dan India justeru pengendali Stephen Van Huizen berharap pemainnya turun dengan semangat mahu mengutip tiga mata agar sasaran menduduki kelompok empat terbaik dapat direalisasikan.

“Matlamat kami di kejohanan ini adalah perbaiki pencapaian tahun lepas, jadi adalah penting untuk menang perlawanan ini. Pakistan juga pastinya mahu bangkit selepas kekalahan 1-5 kepada India, mereka tidak mengharungi aksi yang baik setakat ini jadi sudah tentunya mereka tidak mahu tewas sekali lagi untuk menjaga maruah dan reputasi mereka.

“Kita tahu ia bukan perlawanan mudah dan perlu berwaspada dengan kebangkitan mereka namun saya yakin semua pemain akan menunjukkan kualiti permainan yang bertambah baik untuk mengutip tiga mata,” jelas Stephen. 

Selepas empat perlawanan, Malaysia hanya menang sekali iaitu 4-3 ke atas Jepun tatkala Pakistan pula mencatat tiga kekalahan berturut-turut kepada Australia, New Zealand dan India walaupun membuka kempen Piala Sultan Azlan Shah dengan menewaskan Kanada.

Dalam empat perlawanan berturut-turut, Malaysia mendahului pasukan lawan tetapi berdepan masalah hilang fokus dan kelekaan di pertahanan yang menyaksikan pasukan terpaksa berputih mata.

Skuad negara membenarkan New Zealand menyamakan kedudukan 3-3 lapan minit sebelum tamat permainan pada perlawanan pertama, kemudiannya mensesiakan kelebihan tiga gol ketika menentang Jepun untuk sekadar menang tipis 4-3, dan kecundang 1-5 kepada Australia walaupun mendahului permainan pada minit ke-24.

Ketika menentang Kanada, Malaysia berjaya merebut pendahuluan 2-1 menerusi jaringan Shahril Saabah dan Nabil Nor Fiqri tetapi membenarkan lawan yang akan beraksi di Sukan Olimpik itu bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan padang Mathew Guest pada minit ke-45.

Dengan Kanada tidak beraksi hari ini, Malaysia yang mengutip sama mata dengan Kanada akan melonjak ke tangga keempat kedudukan kumpulan seandainya berjaya menewaskan Pakistan namun jika keputusan sebaliknya yang berlaku, Speedy Tigers akan terus tergelincir ke tangga keenam dan berdepan kemungkinan mengulangi pencapaian menduduki tangga tercorot seperti tahun lalu.

- Advertisement -