Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menuntut barisan penyerang pasukan itu untuk menunjukkan sentuhan jaringan apabila berdepan Kedah dalam aksi terakhir Piala Malaysia Kumpulan C pada Ahad.

Skuad The Red Warriors masih mempunyai peluang untuk mara ke kelompok lapan terbaik dengan syarat mereka wajib menewaskan Kedah tanpa mengambil kira berapa pun defisit jaringan, dalam masa sama mengharapkan MIFA dapat mengulangi aksi luar biasa mereka dengan menewaskan juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) dalam satu lagi perlawanan.

Kelantan ketika ini berada di kedudukan tercorot kumpulan dengan lima mata – tiga mata di belakang MIFA dan Kedah serta satu mata di belakang JDT.

Apa yang membuatkan misi wajib menang mereka nampak sedikit sukar adalah ketumpulan sentuhan penyudah – mereka hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan yang telah diharungi dan itupun menerusi sepakan penalti Cristiano Santos ketika menewaskan JDT 1-0 di Kota Bharu.

“Memang saya akui sentuhan penyudah adalah aspek paling merungsingkan ketika ini, ia adalah satu rekod buruk untuk hanya menjaringkan satu gol penalti tetapi kita telah berusaha memperbaiki ianya dalam tempoh cuti panjang selama dua minggu.

“Saya berpuas hati dengan aksi yang telah ditunjukkan barisan pertahanan yang bolos hanya tiga gol, tengah juga kita akan dapat menggandingkan semula Nik Akif Syahiran (Nik Mat) dan Baktiyar (Duyshobekov) cuma barisan serangan sahaja perlu lebih efektif.

“Saya mengharapkan apa yang telah dipraktikkan ketika latihan dapat diterjemahkan sewaktu perlawanan nanti, jika kita mahu menang dan layak, kita tiada pilihan, kena jaringkan gol,” ujar Yusri.

Selain Cristiano, penyerang lain di dalam skuad Kelantan adalah penjaring terbanyak mereka iaitu Shafiq Shaharudin, Nik Azli Nik Alias dan Fakhrul Zaman Zawawi. Danial Ashraff turut boleh bertindak sebagai penyerang bantuan.

Tambah Yusri lagi, “Semua tahu kita sebenarnya tidak diletakkan harapan tinggi untuk melepasi kumpulan jadi seandainya kita berjaya melakukannya, ia akan menjadi satu pencapaian yang sangat membanggakan apatah lagi kita dibarisi pemain-pemain muda yang masih cetek pengalaman.”

Sebagai rekod, Kelantan yang merupakan juara dua kali membuka tirai Piala Malaysia kali ini dengan mencatat seri tanpa jaringan menentang Kedah di Alor Star, kemudiannya tewas kepada MIFA 0-2 di Petaling Jaya disusuli kemenangan ke atas JDT di Kota Bharu.

Mereka kemudiannya tewas kepada JDT dalam aksi pusingan kedua di Larkin dan seri tanpa jaringan menentang MIFA dalam aksi terakhir sebelum saingan berhenti rehat. MUHD AIMAN 

- Advertisement -