imran.2

Oleh Ku Mohd Lufti

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mensasarkan lebih 10 lagi tambahan atlet negara layak untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio Ogos nanti.

Setakat ini, 22 atlet negara telah berjaya melayakkan diri untuk beraksi di Rio de Janeiro secara merit dalam 9 jenis sukan setakat ini.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran menjelaskan, MOM masih menanti jumlah terakhir atlet negara yang layak kerana ada beberapa sukan yang berpeluang untuk memburu kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Kami menjangkakan antara 30 ke 32 atlet yang akan ke Rio walaupun di atas tiket wildcard. Sukan golf masih belum mengesahkan lagi nama atlet kerana perlu menilai ranking terakhir yang dijangka pada Julai nanti. Sukan memanah juga berpeluang untuk menambah 3 atlet menerusi acara berpasukan.”

“Sukan olahraga juga berpeluang untuk menambah penyertaan atlet menerusi penyertaan wildcard selain Nauraj Singh yang sudah layak secara automatik,” kata Imran selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan Olimpik Rio 2016 di Wisma MOM.

Tambah Imran lagi, acara renang juga berpotensi untuk menambah jumlah atlet.

Manakala dalam sukan badminton, Tan Sri Tunku Imran mengesahkan pemain bagi perseorangan wanita akan diputuskan semula oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Tee Jing Yee mengalami kecederaan sekaligus menarik diri ketika Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan di Bukit Kiara Sabtu lalu.  

Badminton menghantar penyertaan paling ramai dengan 8 atlet , diikuti renang dengan 5 atlet.

Untuk rekod, ketika Sukan Olimpik 2012, Malaysia menghantar seramai 28 atlet bagi 8 acara sukan samada layak samada secara merit atau wildcard.

- Advertisement -