Aksi pasukan Thailand (hitam) sewaktu menentang Malaysia.

Tiga sukan yang digugurkan daripada sukan teras – angkat berat, sepaktakraw dan taekwondo – tidak akan diabaikan sebaliknya satu pelan pembangunan semula akan dirancang Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyelamatkan sukan-sukan tersebut. 

Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin berkata, “Bila sukan itu digugurkan sebagai sukan teras, tidak bermakna ia diabaikan, saya minta MSN fikirkan cara selamatkan sukan itu. MSN akan duduk semeja dengan Taekwondo Malaysia, Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia dan buat satu pelan pembangunan semula untuk selamatkan mereka.

“Kita juga berharap mereka boleh bersetuju untuk laksanakan pelan tersebut, MSN bukan mengambil alih tetapi akan bantu bangun semula. Kita mahu lihat dengan keputusan ini ada kesedaran untuk bangkit semula, jika tidak keputusan saya buat ini sia-sia sahaja.”

Khairy bercakap kepada pemberita selepas hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir Kejohanan Piala Supermokh di Majlis Sukan Negara, Bandar Sukan Bukit Jalil pada Sabtu.

Selasa lalu, Khairy mengumumkan tiga sukan itu digugurkan daripada sukan teras setelah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN membuat semakan semula dan kajian mendalam terhadap pencapaian serta prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

Menurut Khairy, keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor lain antaranya kemelut dalaman persatuan yang tidak berkesudahan serta kegagalan atlet dalam ujian doping sekaligus mengundang pelbagai reaksi dari para pemimpin persatuan, ibu bapa dan peminat-peminat sukan tempatan.     

“Ada yang tanya kalau betul mereka bermasalah kenapa sampai buat keputusan macam ini. Jawapan saya, kita nak hantar satu isyarat jelas, kalau kita tidak hantar isyarat macam ini, tidak gugurkan dari SUKMA, mereka tidak akan sedar.

“Tengok sekarang, apabila ia sudah menjadi pertikaian hangat, dapat kecaman ibu bapa, baru mereka (persatuan sukan) cakap boleh buat semua perkara yang selama ini mereka tidak laksanakan. Ini juga satu isyarat kepada ibu bapa dan orang ramai, bahawa tindakan gugur dari SUKMA dan ketiadaan pembangunan yang terurus turut memberi kesan kepada mereka.

“Saya juga ingin menjawab kepada beberapa persatuan sukan negeri yang menyalahkan keputusan ini dengan berhujah mereka kehilangan peluang menang emas di SUKMA. Itu falsafah yang tidak tepat, SUKMA adalah pembangunan untuk takraw, angkat berat dan taekwondo, tapi mereka kata tanpa sukan itu sudah tiada lubuk emas.

“Ini membuktikan persatuan negeri latih atlet untuk menang di SUKMA, pembangunan entah ke mana, akhirnya semua MSN yang buat. Jadi, tujuan kita di sini mahu selamatkan dan bangunkan semula tiga sukan tersebut,” jelas Khairy. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -