20160103-Cheras BC(blue)-Sarita Suwannakitborihan-002

20160103-Petaling Jaya BC(red)-Nipitphon Puangpuapech & Woon Khe Wei-005

Muar City BC mengesahkan kejuaraan Resorts World Purple League 2015 lebih awal tanpa perlu menunggu aksi menentang Cheras BC pada Selasa, setelah pencabar terdekat mereka itu tewas kepada Petaling Jaya BC dalam aksi cukup getir di Arena Sports@Sentosa.

Kekalahan Cheras menyaksikan Muar City yang merakamkan kemenangan kesembilan dengan menewaskan Petaling BC pada Sabtu, mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu dengan kelebihan besar 65 perlawanan di persada liga dan berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan. 

Dalam pada itu, aksi bertenaga menghiburkan dari Zulfadli Zulkifli untuk menewaskan Muhammad Hafiz Hashim pada perlawanan terakhir tidak memadai untuk mengelakkan Cheras dari tewas 6-12 di tangan Petaling Jaya BC dan tergelincir ke tangga ketiga liga.

Jurulatih Cheras, Rashid Sidek nyata sedikit terkilan dengan prestasi pasukannya terutama dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, dan berpendapat Cheras kini berdepan misi sukar untuk kembali merampas kedudukan kedua liga.

“Memang kita tidak beraksi dengan baik, tiga dari empat perlawanan kita kalah selepas mendahului. Kita hilang fokus pada waktu yang cukup getir dan saya harap pemain akan segera bangkit.

“Agak sukar untuk kita naik ke nombor dua semula, kerana selepas ini kita akan menentang Muar City, dan perlu menang besar ke atas Klang United pada perlawanan terakhir. Saya cuma harap pemain akan lakukan yang terbaik,” kata Rashid selepas perlawanan.

Petaling Jaya yang berada di tangga ketiga dengan ketinggalan lima mata di belakang Cheras sebelum perlawanan bermula, menang empat aksi awal dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu campuran dan beregu lelaki kesemuanya dengan keputusan 3-1 untuk melonjak ke tangga kedua – dengan kelebihan satu mata ke atas Cheras.

K.Satheishtaran mengetepikan faktor kurang pengalaman untuk menewaskan Soon Joo Ven 3-1 (11-10, 11-9, 7-11, 11-6) dan Yang Li Lian mengukuhkan kedudukan menjadi 6-2 menerusi kemenangan ke atas Sarita Suwanakitborihan.

Nipitphon Puanpuapech/Woon Khe Wei kemudiannya bangkit dari kekalahan set pertama untuk menewaskan Tan Aik Quan/Vivian Hoo 3-1 (9-11, 11-6, 11-8, 11-10).

Khe Wei yang sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di GP Gold Malaysia pertengahan bulan ini berkata, “Ada sedikit salah faham dengan Nipitphon pada set pertama, ia perkara biasa kerana kami bukan berlatih bersama dan kami berjaya atasinya dengan baik.

“Fokus saya kini adalah kembali dapatkan kecergasan dan tingkatkan prestasi setelah lama bercuti. Lagipun saya akan ambil bahagian dalam beberapa kejohanan antarabangsa selepas ini, jadi perlu kerja lebih keras.”

Pertembungan yang dijangka sengit antara bekas juara All England, Hafiz Hashim dan bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli pada aksi terakhir bagaimanapun meleset apabila aksi bersahaja Hafiz bukan tandingan buat Zulfadli yang tampil agresif dan bertenaga untuk merakamkan kemenangan 3-0 (11-3, 11-4, 11-9).

Sementara itu, Puchong United menghidupkan saingan tiga penjuru untuk merebut tempat kedua menerusi kemenangan 13-8 ke atas Bangsar Hawks pada perlawanan yang berlangsung Sabtu.

Puchong United yang pada satu ketika dilabel pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan, boleh melonjak ke tangga kedua seandainya mereka menang baki dua perlawanan termasuk aksi sukar menentang pendahulu Muar City, dalam masa sama mengharapkan kedua-dua Petaling Jaya dan Cheras tewas kepada lawan masing-masing.

Saingan Purple League akan menutup tirainya pada 10 Januari depan dengan lapan pasukan teratas akan layak beraksi di Resorts World Genting Champions Challenge 2015.

20160103-Petaling Jaya BC(red)-Yang Li Lian-001

20160103-Petaling Jaya BC(red)-Or Chin Chung & Tang Chun Man-003

- Advertisement -