Champions Challenge - Muar City Badminton Club - Mens Single - Lee Hyun Il. Photo Credit - www.1titan.com
Kudrat veteran Korea; Lee Hyun Il yang kini merupakan pemain di tangga ke-12 dunia masih mampu untuk memberi saingan kepada pasukan lawan. Kredit Foto – www.1titan.com

 

Finalis musim lalu, Kelab Badminton Muar City tidak rela impian merangkul kejuaraan berganda  berkubur di pertengahan jalan dan berjanji menurunkan barisan pemain terbaik apabila turun menentang Kelab Badminton Ampang Jaya dalam aksi separuh akhir Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015, pada Sabtu.

Pada edisi lalu, Muar City yang turun selaku pilihan dikejutkan dengan kekalahan 8-13 kepada Kelab Badminton Kepong pada perlawanan akhir dan terpaksa berpuas hati dengan bergelar naib juara.

Pengurus pasukan Muar City, Huan Woon Han berkata mereka tidak akan mengulangi kesilapan lalu meskipun menyedari tekanan kini kian menghimpit pasukan berstatus bintangnya yang baru sahaja mempertahankan kejuaraan Purple League pada Ahad lalu.

“Kita terlepas musim lalu yang mana masih saya anggap sebagai satu kejutan. Pemain sangat mahukan kejuaraan ini dan mereka bersedia buat yang terbaik. Kita ada masa tiga hari selepas perlawanan suku akhir tempoh hari, kita telah berehat dan berlatih jadi saya yakin pemain telah sesuaikan diri dengan gelanggang ini,” ujar Woon Han.

Tambahnya lagi, “Kelemahan kita adalah pada pemain perseorangan yang masih bergelut dengan bulu tangkis yang laju. Sangat sukar untuk kawal, di gelanggang ini susah untuk pemain-pemain ini bermain rally panjang, kalau mereka bermain rally, pastinya salah seorang akan memukul bulu tangkis keluar. Jadi, kita perlu kurangkan kesilapan, saya yakin kita ada kelebihan dan kita akan tentukan siapa pemain yang akan beraksi nanti.”

Muar City mara ke separuh akhir, setelah mengetepikan cabaran sengit dari Kelab Badminton Serdang di suku akhir dengan kedua-dua pemain perseorangan lelaki, Lee Hyun Il dan Tan Chung Seang serta beregu lelaki menjadi faktor penting memacu kemaraan Muar City ke separuh akhir.

Dengan ketiadaan pemain perseorangan wanita utama Kim Mun Hee, Muar City tampak masih bergelut untuk mencari mata dalam acara perseorangan wanita dengan satu-satunya sandaran, Rusydina Antardayu belum lagi mencatat kemenangan dalam dua aksi terdahulu di persekitaran beraltitud tinggi Arena of Stars ini.    

Mereka juga tewas buat pertama kali dalam acara beregu campuran apabila gandingan pemenang emas Olimpik, Lee Hyo Jung dan Han Sang Hun tewas mengejut dalam pertembungan dengan Serdang tempoh hari justeru Woon Han berpendapat kekalahan hanya mengajar pemainnya untuk bangkit dengan lebih bertenaga.

Muar City bakal turun tanpa beberapa pemain tonggak antaranya gandingan beregu campuran nombor satu negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, pemain beregu nombor satu dunia, Lee Yong Dae, pemain beregu utama negara Tan Wee Kiong dan bekas juara All England, Tan Boon Heong.

Begitupun, ia tidak sedikitpun merencatkan persiapan mereka tatkala mereka sudah bersedia melayan cabaran Ampang Jaya – pasukan yang ditewaskan 11-6 dalam aksi liga – untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.   

- Advertisement -