20151104 - Nusajaya BC - Yip Pui Yin vs Petaling Jaya BC - Michelle Li
Nusajaya BC – Yip Pui Yin vs Petaling Jaya BC – Michelle Li
20151106 - Muar City BC - Fikriihsandi
Muar City BC, Fikriihsandi

Juara bertahan, Muar City BC melaungkan amaran awal akan kesediaan mereka mahu mempertahankan kejuaraan Resorts World Genting Purple League 2015 apabila membuka tirai musim baru Liga Badminton professional pertama tanah air itu dengan cemerlang menerusi dua kemenangan meyakinkan minggu lalu.

Meskipun turun tanpa pemain bintang mereka, Lee Hyun Il, Muar City yang mempertaruhkan beberapa pemain ternama seperti Tan Boon Heong/Mak Hee Cun, dan Tan Chun Seang tetap menepati ramalan dan nyata terlalu kuat untuk disaingi Kepong BC apabila menang 15-3 dan mereka menyusuli kemenangan itu dengan menewaskan Petaling Jaya BC 14-9.

Namun, tumpuan minggu pembukaan saingan tidak dinafikan terarah kepada kegarangan Nusajaya BC – pasukan yang berakhir di kedudukan tiga tercorot musim lalu – yang membuktikan betapa cabaran mereka kali ini tidak boleh dipandang enteng.

Diperkuatkan bintang Thailand, Boonsak Ponsana, Nusajaya – satu lagi pasukan dari Johor, tampil dengan aksi serba mantap untuk mengejutkan Petaling Jaya BC 11-8 dan meneruskan momentum kemenangan dengan garang membelasah Kajang BC 15-1 seterusnya melonjak selaku pendahulu peringkat awal kedudukan kumpulan.

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat rumusan, permulaan sempurna oleh kedua-dua pasukan ini pastinya menjadi suntikan motivasi yang terbaik untuk mereka meneruskan prestasi cemerlang apabila saingan liga yang berehat selama lebih dua minggu kembali bersambung pada 25 November depan.

Selain dua pasukan ini, Serdang BC bimbingan bekas pemain kebangsaan Ong Ewe Hock dan Cheras BC yang mendapat sentuhan bekas ketua jurulatih badminton kebangsaan, Rashid Sidek turut bermula dengan langkah kanan apabila menang dua aksi pembukaan.

Bangsar Hawks, di bawah bimbingan abang Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1992, Razif Sidek yang membawa misi memperbaiki pencapaian menduduki tangga tercorot musim lalu gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tunduk kepada Klang United meskipun bermula cemerlang dengan menundukkan Kajang BC.

Antara pasukan yang diangkat sebagai pilihan untuk mencabar kejuaraan, Puchong United yang turun tanpa trio bintang Korea – Yoo Yeong Seong, Son Wan Ho, Sun Ji Hyun –  menamatkan saingan minggu pembukaan dengan satu kemenangan ke atas Petaling BC, terima kasih kepada Tanongsak Saemsomboonsuk yang cemerlang menundukkan bintang Jepun, Kenichi Tago.

Petaling BC yang mempunyai pemain nombor dua dunia, Jan O Jorgensen, serta Klang United masing-masing turut membawa pulang satu kemenangan tatkala empat pasukan iaitu Ampang Jaya BC, Petaling Jaya BC, Kepong BC dan Kajang BC masih belum dapat menyerlahkan potensi sebenar apabila mengisi empat kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang kemenangan.

Justeru, pertarungan lebih hebat dijangka apabila saingan bersambung semula dari 25 – 29 November depan dengan kesemua pasukan sudah tentunya tampil dengan pendekatan dan karakter berbeza selepas mengenalpasti kekuatan dan kelemahan masing-masing selepas dua aksi pertama.

- Advertisement -