Oleh Ku Mohd Lufti

Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom membutirkan pingat pertama untuk Malaysia di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) bagi acara trek di New Delhi, India petang tadi.

Pelumba kelahiran Muar, Johor ini menamatkan saingan final Keirin Elit Lelaki ditempat ketiga dibelakang dua pelumba kelahiran Jepun, Yuta Wakimoto dan Kazunari Watanabe yang muncul juara dan naib juara.

“Saya bersyukur kerana penyertaan kali keempat dalam ACC dalam acara senior elit, ini kali pertama saya menang acara Keirin dan pingat pertama selepas menduduki tempat keempat.

“Kecewa juga kerana di 50 meter terakhir, saya agak bercelaru, namun walaubagaimanapun saya tetap bersyukur dengan pencapaian ini,” kata Shah Firdaus.

Dalam pada itu, impian untuk melihat kilauan pingat daripada jaguh Keirin negara, Azizul Hasni Awang tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan ditempat kesembilan dalam penentuan tempat ke 7 hingga 12.

Azizul gagal melayakkan diri ke peringkat final bagi perebutan pingat emas selepas menduduki tangga keempat diperingkat separuh akhir.

“Ketika di pusingan terakhir peringkat separuh akhir, saya berada di kedudukan kedua dibelakang Kazunari, namun dua pelumba Taiwan berjaya memintas disaat saat akhir dan hanya menduduki tempat keempat.

“Saya hilang semangat untuk berlumba di final kategori B dan hanya berkayuh sebagai pemanas bada untuk persiapan bagi acara pecut,” kata Azizul.

Beliau yang dikenali dengan The Pocket Socket turut mengucapkan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus Shahrom yang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Keirin.

- Advertisement -