Persatuaan Bolasepak Melaka (MUSA) memberi jaminan isu melibatkan tunggakan gaji pemain pemain pasukan Melaka United akan diselesaika dalam tempoh sebulan.

Presiden MUSA, Adly Zahari menjelaskan, perbincangan diantara pengurusan, kejurulatihan dan pemain pemain telahpun diadakan untuk mencapai kata putus.

“Kita akan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pemain dan saya yakin bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan MUSA kali ke-63 di sini hari ini.

Kongres Tahunan Musa turut dihadiri Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Laporan media tempatan mendedahkan berlaku tunggakan gaji melibatkan pemain pemain Melaka United bagi bulan Jun dan Julai susulan krisis kewangan melibatkan pengurusan MUSA.

Ia susulan perubahan kerajaan negeri selepas Pilihanraua Umum ke 14 yang menjejaskan penajaan pasukan itu.

Dalam pada itu, Adly juga berpendapat, persatuan sukan tidak boleh ditadbir urus oleh individu yang berada di dalam bidang politik.

Beliau akan mencari satu mekanisme bagi memastikan pengurusan berasal daripada bidang sukan bagi menjamin sesebuah pengurusan yang lebih baik.

Adly berkata buat masa ini beliau menerima jawatan presiden MUSA disebabkan oleh masalah kesukaran mendapatkan penajaan dan beliau mengambil tanggung jawab itu untuk membantu pasukan Melaka.

Jawatan presiden dan timbalan presiden MUSA tidak dipertanding pada Kongres MUSA ke-63 yang kini masing-masing disandang oleh Adly dan Mohd Yusoff.

Tiga muka baharu dilantik sebagai naib presiden pada pemilihan hari ini iaitu Harun Mohamad, Mohd Ashiq Abd.Samad dan Yong Yoon Pin, manakala Datuk Fadzli A.Bakar terus mempertahankan jawatan tersebut untuk penggal ini.

- Advertisement -