Di bawah sentuhan pemain legenda Singapura, Fandi Ahmad, Sri Pahang FC, dijangka mampu tampil lebih baik berbanding musim lalu selain kehadiran muka-muka baharu yang menambahkan lagi kualiti dalam skuad Tok Gajah.

Pemain tengah Sri Pahang, David Rowley melihat persiapan Sri Pahang kali ini sangat positif sambil melihat musim 2023 boleh menjanjikan sesuatu kejayaan jika apa yang dirancang menjadi kenyataan.

Tambahnya, keserasian antara pemain juga semakin baik selepas menjalani beberapa aksi persahabatan selain sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan Fandi.

” Saya begitu teruja melihat pemain-pemain baharu yang akan memperkuatkan cabaran pasukan sama ada tempatan atau import, boleh saya katakan sebahagian besarnya begitu berpengalaman.

” Paling saya gembira adalah kehadiran dua penyerang yang saya rasa antara terbaik di Liga Malaysia iaitu Kpah Sherman dan Lucas Espindola da Silva.

” Bersama Fandi, banyak perubahan beliau tengah lakukan bagi memastikan Sri Pahang akan tampil lebih berbeza berbanding sebelum-sebelum ini.

” Setakat ini, saya rasa cabaran paling besar ialah bagi mendapatkan keserasian sebelum liga bermula pada penghujung Februari memandangkan sebahagian besar adalah muka baharu,” katanya.

Antara pemain tempatan yang memperkuatkan cabaran Sri Pahang ialah Mohd.Fadhli Mohd.Shas, Izham Tarmizi, Nur Shamie Iszuan, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.

Manakala bagi import, selain Sherman dan Lucas, Sri Pahang menambah pemain-pemain baharu seperti Stefano Brundo dan Michael Glassock selain mengekalkan Sherzod Fayziev dan Kevin Ingreso.

Prestasi yang cemerlang sepanjang musim 2022 apabila berjaya mencetak 6 jaringan (22 penampilan) dengan Sri Pahang memperlihatkan Rowley berjaya mendapat panggilan Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022.

Justeru, pemain kacukan Australia-Malaysia ini berasakan tahap keyakinannya sedikit berbeza selepas impian menyarung jersi kebangsaan menjadi kenyataan.

” Peluang bersama Harimau Malaya adalah satu impian yang telah lama saya nantikan dan pengalaman bersama skuad kebangsaan sepanjang AFF tidak akan dilupakan.

” Selepas pulang dari AFF, saya rasa semakin menjadi seorang yang positif dan tidak gentar semasa di atas padang, ini memberikan motivasi tambahan buat saya bagi musim 2023.

” Saya akan terus berikan yang terbaik untuk Sri Pahang dan jika itu berjaya, saya juga boleh mengekalkan tempat dalam pasukan kebangsaan untuk perlawanan di peringkat antarabangsa,” katanya.

- Advertisement -