Muzakkir Mohamed yang mencipta kejutan pada pusingan pembukaan musim ini enggan terlalu memikirkan tentang perebutan takhta CP150 sebaliknya hanya ingin fokus untuk cuba mengutip sebanyak mungkin mata berharga dari setiap perlumbaan walau berdepan apa jua halangan termasuk terpaksa berlumba dengan limitasi RPM yang dikenakan berasaskan keputusan semasa.

“Muz tak mahu berada dalam tekanan dengan terlalu memikirkan gelaran kejuaraan CP150 tapi akan fokus untuk membawa pulang sebanyak mungkin mata berharga dari setiap pusingan dan sebolehnya cuba untuk menamatkan semua perlumbaan musim ini. Muz yakin jika dapat konsisten pada setiap perlumbaan gelaran tersebut akan sentiasa terbuka untuk dirangkul.”, ujar beliau mengulas saingan merebut kejuaraan CP150 setelah 4 pusingan berlangsung.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team ini melakar sejarah tersendiri pasukan tersebut apabila menyandang kedudukan ketiga keseluruhan musim lalu dengan dua podium. Ia merupakan kejayaan peribadi terbaik sejak menyertai Cub Prix dalam kategori Pro Am pada tahun 2015. Kejayaan memenangi perlumbaan pembuka musim ini diharap dapat menjadi pemangkin memperbaiki kecemerlangan musim lalu.

Sebelum itu apabila ditanya mengenai persiapan menghadapi Pusingan 5 dan 6 hujung minggu ini, pelumba asal Selangor ini berkata cabaran utama adalah implikasi daripada peraturan baru yang diperkenalkan musim ini.

“Berdasarkan peraturan dan keputusan terkini CP150, jentera Yamaha akan berlumba di Terengganu dengan had RPM maksimum 13400 sahaja dan ia satu cabaran besar buat pasukan kami tapi persediaan awal telah dibuat dan kami sememangnya sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang.” menurut beliau lagi.

Muzakkir turut menambah, dari segi peribadi, beliau banyak menumpukan pada latihan fizikal manakala latihan menggunakan jentera dilakukan pada setiap hujung minggu. Menurut beliau persiapan rapi ini sangat penting kerana Litar Permotoran Terengganu merupakan litar yang sangat teknikal memerlukan kecergasan dan stamina pada tahap 100%.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih buat semua penyokong dan terus sokong kami dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, jumpa di Kuala Terengganu!”, kata beliau mengakhiri sesi temubual menjelang perlumbaan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia Pusingan 5 dan 6 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada 1 hingga 3 Oktober nanti.

- Advertisement -