Oleh Muhammad Aiman

Pendahulu 100PLUS Liga Premier, Negeri Sembilan terlepas peluang terbaik untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas setelah sekadar merakam keputusan seri 1-1 menentang pasukan di kedudukan tercorot, Perlis.

Ianya keputusan dramatik di Stadium Utama Negeri, Kangar di mana Negeri Sembilan di ambang membawa pulang kemenangan apabila beroleh jaringan pendahuluan pada masa kecederaan permainan menerusi jaringan sendiri Syafiq Azri.

Begitupun Perlis memastikan skuad bimbingan Asri Ninggal pulang dengan hanya satu mata apabila menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi sentuhan Alafi Mahmud. 

Keputusan itu menyaksikan skuad hoben hang hoben mendahului liga dengan 27 mata, kelebihan tiga mata ke atas Terengganu manakala Perlis kekal di kedudukan tercorot dengan enam mata.

Di Stadium Pasir Gudang, Terengganu melonjak ke kedudukan kedua setelah membenam tuan rumah Johor Darul Takzim II 2-1.

JDT II terlebih dahulu berada di depan pada minit kelima setelah Jeronimo Barrales menanduk masuk hantaran Nicholas Fernandes namun gagal mencari tambahan jaringan meskipun beroleh beberapa peluang keemasan.

Sebaliknya anak buah Irfan Bakti berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Ferris Danial Mat nasir dan membawa pulang tiga mata setelah Federico Falcone menjaringkan gol kemenangan di minit ke-70.

Di Stadium Uitm pula, tuan rumah Uitm FC mengikat PKNP FC 1-1 menerusi jaringan minit ke-70 Akani Sunday Wassiu. PKNP yang sedang meniti prestasi terbaik mereka mendahului pada minit ke-14 menerusi Shahrel Fikri.

Satu mata yang diraih memastikan kedua-dua pasukan mengiringi Negeri Sembilan dan Terengganu layak ke saingan Piala Malaysia. Hanya lima pasukan teratas Liga Premier selepas tamat pusingan pertama layak beraksi di Piala Malaysia.

PKNP mengakhiri pusingan pertama dengan menduduki tangga ketiga manakala UITM tangga kelima.

Sementara itu, Kuala Lumpur turut menyambar slot ke Piala Malaysia pada saat akhir setelah jaringan Guilherme De Paula lima minit sebelum tamat permainan membolehkan mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan MISC MIFA 2-1 dan melonjak ke kedudukan keempat dengan 20 mata.

Perlawanan lain, hatrik jaringan Venice Elphi membantu ATM menewaskan Kuantan FA 4-3 manakala PDRM menewaskan Sabah 3-1 di Likas.

- Advertisement -