Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman di tangga teratas 100PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan kelima berturut-turut dari lima perlawanan dengan menewaskan Kuantan FA 3-1 di Stadium Darulmakmur.

Skuad bimbingan Asri Ninggal yang mendominasi sebahagian besar permainan tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan Bruno Suzuki pada minit kelapan, diikuti jaringan Marko Simic lima minit kemudian.

Simic menjadikan kedudukan 3-0 pada pertengahan separuh masa kedua tatkala jaringan Shunsuke Nakatake di minit akhir permainan sekadar saguhati buat tuan rumah yang tewas buat pertama kali di gelanggang sendiri.

Negeri Sembilan kini mengumpul 15 mata, dua mata mengatasi pasukan tangga kedua PKNP FC dan beraksi kurang satu perlawanan.

Sementara itu, PKNP FC bimbingan Abu Bakar Fadzim pula meneruskan rentak cemerlang mereka apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Ipoh.

Gol tunggal PKNP FC dijaringkan oleh Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit akhir permainan sekaligus menghampakan hasrat ATM membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Terengganu pula bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk kembali melonjak ke tangga ketiga setelah menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Setelah kecundang kepada Negeri Sembilan dan PKNP FC sebelum ini, skuad kendalian Irfan Bakti terdesak kembali ke landasan kemenangan dan berjaya mengutip tiga mata menerusi jaringan akrobatik menarik Federico Falcone pada minit ke-4 dan sepakan percuma Lutfulla Turaev di awal separuh masa kedua.

Kuala Lumpur mendapat jaringan tunggal mereka menerusi Naim Nazmi Zainudin pada minit ke-36.

PDRM pula melonjak ke tangga kelima setelah menundukkan Perlis 2-0 menerusi jaringan Fakhrullah dan Dao Bakary – ia adalah kekalahan keempat buat singa utara menyaksikan mereka kekal di kedudukan tercorot.

Terdahulu, pada perlawanan yang berlangsung petang, JDT II tergelincir ke tangga keempat liga setelah sekadar seri 2-2 menentang UITM FC di Stadium Uitm, Shah Alam.

Uitm mendahului 2-0 menerusi jaringan Sadam Hasim pada minit ke-22 dan Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-48 namun skuad bimbingan Hamzani Omar bangkit menyelamatkan satu mata menerusi dua jaringan pemain import Nicolas Fernandez pada minit ke-61 dan 84.

- Advertisement -