Pemain skuash nombor satu negara, Nafiizwan Adnan melakar kejutan besar apabila menyingkirkan penyandang pingat emas yang juga juara dunia, Nick Mathew untuk melangkah ke separuh akhir acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada Sabtu.

Pertarungan antara Mathew (no.12 dunia) dari England dan Nafiizwan (no. 35 dunia) berlangsung menarik dengan kedua-dua pemain saling mengutip mata untuk terikat 2-2, memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.

Nafiizwan memastikan kemenangan 3-2 (11-7, 6-11, 10-12, 11-4, 11-6) dalam 81 minit sekaligus menjadi pemain Malaysia pertama dalam acara perseorangan lelaki untuk melangkah ke separuh akhir setelah Azlan Iskandar melakukannya 16 tahun lalu di Manchester.

“Ini adalah kemenangan terbesar dalam hidup saya. Dia (Mathew) adalah idola saya, untuk melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan seorang pemain hebat sepertinya sangat bermakna. Saya gunakan sebaiknya kekuatan saya pada hari ini dan kurangkan kesilapan, saya hanya menjadi diri saya sendiri.

“Saya lihat ketika di set kelima Mathew sudah sedikit bergelut dan lambat bertindak, dia alami harmstring jadi saya memanfaatkan situasi itu sebaik mungkin. Saya kekal fokus dan cakap kepada diri sendiri saya boleh lakukannya, saya perlu untuk lakukannya demi negara dan keluarga,” kata pemain kelahiran Terengganu itu.

Di peringkat separuh akhir pada Ahad, Nafiizwan yang menjuarai Terbuka Manitoba pada bulan lalu akan berdepan seorang lagi pemain England yang berada di kedudukan ke-14 dunia, James Willstop.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita ratu skuash negara Datuk Nicol David turut mara ke separuh akhir setelah menyingkirkan pemain England, Alison Waters.

Nicol yang merupakan penyandang pingat emas bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk melakar kemenangan 3-2 (7-11, 11-13, 11-9, 11-9, 12-10) dan menempah pertemuan menentang pemain New Zealand, Joelle King yang mara setelah menewaskan Joshna Chinnapa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -