Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan kembali melonjak ke kedudukan teratas 100PLUS Liga Premier setelah bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ke atas PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad bimbingan Asri Ninggal terlebih dahulu ketinggalan kepada jaringan Dao Bakary pada minit ke-60, namun jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-72 dan Farderin Kadir pada minit ke-83 memastikan skuad hoben jang hoben mengutip tiga mata berharga.

Mengekori rapat di tangga kedua adalah Terengganu yang turut mencatat kemenangan ketiga mereka dengan menundukkan Kuantan FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Gol buat pasukan bimbingan Irfan Bakti dijaringkan oleh Issey Farran Nakajima pada minit ke-48 dan Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-63, memastikan mereka mengumpul sembilan mata dan ketinggalan kepada Negeri Sembilan hanya menerusi beza jaringan.

Aksi di Ipoh pula menyaksikan pendahulu sebelum ini Kuala Lumpur sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Sementara itu, dalam aksi di Nilai, MISC MIFA mencatat kemenangan pertama mereka musim ini setelah mengejutkan JDT II 5-3, dengan pemain import Tagne Bodric Dimitri menjaringkan empat gol.

JDT II bermula dengan baik apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Nicolas Fernandez (m-18)  dan Rozaimi Rahman (m-33) tetapi Tagne Bodric memulakan kebangkitan MIFA menerusi jaringan pada minit ke-41, diikuti jaringan penyamaan Michael Chukwubuna pada minit akhir separuh masa.

Tagne menjaringkan gol ketiga MIFA pada minit ke-50 sebelum JDT II menyamakan kedudukan 3-3 hasil sepakan penalti disempurnakan Nicolas Fernandez. Tagne kemudiannya meledak pada minit-77 dan masa kecederaan untuk memastikan kemenangan milik skuad bimbingan Jacob Joseph itu.

Di Likas, tuan rumah Sabah menanggung kekalahan memalukan setelah kecundang 2-5 kepada Angkatan Tentera Malaysia dengan Pavel Smolyachenko muncul wira dengan meledak hatrik.  

ATM bimbingan Azhar Abdullah mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Smolyachenko yang memanfaatkan sebaiknya kesilapan penjaga gol, Rozaimi Rahim yang gagal mengeluarkan bola hantaran ke belakang Masaya Jitzono.

Sepuluh minit kemudian, ATM menggandakan kelebihan setelah Rafizol Roslan menyempurnakan hantaran pemain veteran, Venice Elphi Dennis Kaya.

Sabah bagaimanapun menterjemahkan kebangkitan menarik apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dengan gol pertama dijaringkan Behe menerusi tandukan cantik pada minit ke-26 manakala ketua pasukan Rawilson Batuil menanduk masuk hantaran Jitzono untuk gol kedua pada minit ke-50.

Gol itu bagaimanapun lebih memberi motivasi kepada pasukan pelawat untuk memburu tambahan jaringan dan mereka berhasil melakukannya menerusi Smolyachenko yang meledak jaringan kedua peribadi pada minit ke-76, diikuti jaringan Rafizol pada minit ke-86 sebelum Smolyachenko melengkapkan hatriknya pada minit akhir.

Kemenangan membolehkan ATM melonjak ke tangga keempat manakala Sabah yang mengalami kekalahan ketiga kekal di tangga kesepuluh.

Dalam aksi membabitkan dua pasukan tercorot, Uitm FC mencatat keputusan seri 2-2 menentang Perlis di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Uitm membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi Raslam Khan tetapi Perlis bimbingan Razip Ismail menyamakan kedudukan di minit akhir separuh masa pertama menerusi Brendon Adam.

Oh Kyu Bin meletakkan Singa Utara di depan pada minit ke-69 namun hasrat mencatat kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian setelah Akani Sunday Wasiu menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum tamat perlawanan.      

- Advertisement -