Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe menjadikan pertahanan antara bahagian penting yang perlu diberi perhatian tatkala pasukannya melayan kunjungan pendahulu Pahang dalam aksi tumpuan Liga Super minggu ini di Stadium Darul Aman.

Meskipun masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dan berada di tangga ketiga liga, Cheng Hoe percaya benteng terakhir pasukannya boleh beraksi dengan lebih baik selepas memboloskan empat gol setakat ini.

Lang Merah membuka kempen musim baru dengan keputusan seri 1-1 menentang penyandang juara Johor Darul Takzim, bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sarawak 3-2 dan terikat 1-1 menentang Felda United minggu lalu.

“Barisan pertahanan saya masih lagi goyah, kami melepaskan gol dalam setiap perlawanan dan sudah tentunya ini sesuatu yang membimbangkan lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan yang mempunyai barisan serangan yang mantap seperti Pahang, yang mana telah menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan,” kata jurulatih terbaik 2016 itu.

Tambahnya, “Saya menganggap mereka sebagai pencabar terkuat saingan liga musim ini. Mereka telah membawa masuk pemain-pemain berkualiti, kesemua import mereka boleh menjaringkan gol, dan telahpun menjaringkan gol. Kami perlu perbaiki kelemahan yang terserlah dan berada pada prestasi terbaik, kalau tidak kami akan dihukum.”

Justeru, Cheng Hoe juga mengharapkan agar barisan pertahanannya dikemudi Khairul Helmi Johari dan pemain import, Zac Anderson akan beraksi dengan lebih tersusun dalam masa sama barisan serangan diterajui Ken Ilso Larson juga akan lebih tajam dan pantas membuat keputusan bagi memastikan tiga mata dapat diraih.   

Skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh ketika ini memimpin carta liga dengan tujuh mata, hasil dua kemenangan ke atas Sarawak (1-0) dan T-Team (5-0) serta keputusan seri 1-1 menentang pasukan tangga kedua Perak pada minggu pembukaan.

- Advertisement -