Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Kedah, Nidzam Adha Yusoff boleh dimaafkan andai dia punyai sedikit rasa bimbang akan keupayaan barisan pemainnya menangani tekanan menjelang aksi getir separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu pada Sabtu ini.

Mana tidaknya, pada Selasa lalu, bekas pemain kebangsaan itu menyaksikan skuad bimbingannya melepaskan pendahuluan 3-1 dan 4-3 untuk akhirnya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 4-4 menentang PKNS Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

Keputusan itu menyaksikan episod prestasi hambar Kedah belum ada noktahnya – tidak menang dalam empat perlawanan terakhir Liga Super sekaligus menyaksikan mereka yang pada satu ketika memulakan musim dengan cemerlang kini berada di tangga ketiga dengan 21 mata, enam mata di belakang pendahulu Johor Darul Takzim.

Ia adalah perlawanan kedua bimbingan Nidzam selepas aksi separuh akhir pertama menentang sang penyu pada 30 April lalu yang menyaksikan Kedah sekadar membawa bekalan tipis satu gol ke Kuala Terengganu hasil kemenangan 1-0 di Stadium Darul Aman.

“Kita mendahului 3-1 pada satu ketika tetapi kemudiannya melepaskan tiga gol mudah. Ia sepatutnya perlawanan yang kita menang, tetapi berakhir dengan kita cicirkan dua mata. Ini adalah isu mengenai fokus dan ia perlu segera diatasi kerana kita ada perlawanan penting menentang Terengganu selepas ini.

“Kita membawa kelebihan satu gol dan pemain tahu kelebihan itu masih belum selamat. Saya tidak mahu apa yang terjadi di Shah Alam berulang. Saya mahu pemain tunjukkan kesungguhan dan beri perhatian penuh. Kita sedar Terengganu tidak akan beri laluan mudah dan pastinya mahu guna kesempatan main di tempat sendiri untuk terbalikkan keputusan,” katanya.

Aksi antara kedua-dua pasukan di Darul Aman sebelum ini menyaksikan skuad Lang Merah mendominasi perlawanan sepenuhnya namun hanya berhasil mendapat jaringan tunggal menerusi Farhan Roslan di pertengahan separuh masa kedua.

Dalam pada itu, Nidzam berharap kecederaan dialami penjaga gol utama, Ifwat Akmal ketika menentang PKNS tidak serius dan boleh diturunkan pada Sabtu ini. 

“Kita akan tengok dan menilai keadaannya, dia adalah tonggak kita jadi sudah tentunya kita harap semuanya ok. Saya percaya Farhan (Abu Bakar) juga dalam keadaan bersedia. Saya yakin kita akan dapat bariskan kesebelasan terbaik apatah lagi Liridon (Krasniqi) dan Rizal(Ghazali) juga sudah balik dari penggantungan.”

Untuk rekod, kali terakhir Kedah melangkah ke final Piala FA adalah pada 2010 manakala Terengganu pula ketika mereka muncul juara pada 2011.

- Advertisement -