DUA rekod baru remaja wanita kebangsaan dilakar pada hari ketiga acara berbasikal trek Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) di Velodrom Nasional di sini.

Pelumba remaja Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mengemudi trio pecut berpasukan Kedah, dua kali memecah rekod remaja, termasuk ketika sesi kelayakan di sebelah pagi, dengan catatan 52.458s.

Dia yang menang emas acara pecut semalam, bersama-sama, Nur Fitrah Shaari dan Nurul Nabilah Mohd Asri tampil lebih garang pada acara final bertemu trio Selangor di sebelah petang, untuk mencatat rekod baru 51.329s, berbanding lawan 52.174s.

Rekod lama pecut berpasukan wanita remaja kebangsaan dilakukan di Kejohanan Berbasikal Asia di New Delhi, 18 Jun lalu adalah 52.979s.

Pingat gangsa dimenangi trio Perak yang mencatat 54,047s ketika menewaskan Johor dalam penentuan tempat 3/4.

Seperti juga Nurul Izzati yang mengumpul dua emas peribadi setakat ini, Muhammad Ridwan Sahrom juga memecah rekod remaja kebangsaan dalam acara 1km ujian masa, dalam laluannya memenangi emas dalam acara itu.

Pelumba Johor itu yang menang emas pecut lelaki semalam, melakar 1:02.508s pada sesi kelayakan untuk memadam rekod yang dipegang Amar Danial Masri 1:03.735s ketika Kejohanan Berbasikal Remaja Asia 2018 di gelanggang yang sama.

Dia bagaimanapun sekadar melakukan 1:02.857s dalam perlumbaan akhir, tetapi sudah cukup untuk menewaskan pelumba Perak, Mohd Zakwan Hamidon (1:03.296s) dan pelumba Selangor, Khaw Yong Kiat (1:03.695s).

Sementara itu, Terengganu memenangi emas dan perak acara 3km kejar-mengejar individu wanita menerusi Nurul Aishah Munirah Chek Ramli yang menewaskan rakan senegeri, Ezzatie Fifiyana Shazwanie Saiful Hisham dalam perlumbaan akhir.

Nurul Aishah Munirah sebelum itu mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan di sebelah pagi dengan masa 3:47.551s. Pingat gangsa dimenangi pelumba Perak, Nyo Chi Hui.

Dalam acara Omnium lelaki yang membabitkan empat disiplin,  Abdul Azim Aliyas yang memenangi acara 4km kejar-mengejar individu semalam, terus menceriakan kem Negeri Sembilan dengan emas kedua.

- Advertisement -