Larian Obor SEA Games Kuala Lumpur 2017 - Terengganu
Pengerusi Exco Belia Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Yb Dato Haji Rozi Mamat dan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Belia dan Sukan, Mazlan Abdul Mutalib memegang Obor KL2017 ketika gimik menyelam di D’ Lagoon, Pulau Perhentian Terengganu. Turut serta Ketua Bahagian Strategi dan Pemasaran Digital Telekom Malaysia. Kredit Foto – Mohammad Soffi / www.asiana.my

LARIAN Obor Kuala Lumpur 2017 yang dianjurkan bersempena dengan Sukan SEA ke- 29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 atau KL2017) memulakan langkah di negeri Terengganu dengan membawakan satu lagi gimik yang unik apabila Obor KL2017 dibawa menyelam ke dasar laut pada 17 Julai 2017.

Acara gimik tersebut yang berlangsung di Pulau Perhentian menyaksikan Obor KL2017 dibawa menyelam di tapak menyelam, Coral View yang bermula daripada pukul 10 pagi. Aktiviti tersebut telah disertai oleh sekumpulan 15 individu yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, YB Dato’ Haji Rozi bin Mamat sambil diiringi oleh kumpulan penyelam profesional.

Acara menyelam ini merupakan satu lagi titik bersejarah dalam siri Larian Obor KL2017 kerana buat julung kalinya aktiviti seperti ini dilakukan. Selepas acara gimik tersebut selesai, Larian Obor KL2017 diteruskan dari Jeti Kuala Besut ke Pejabat Daerah Besut untuk jarak sejauh 5.2 kilometer.

Larian Obor KL2017 di Terengganu merupakan kesinambungan daripada larian di Kelantan yang berakhir pada 16 Julai 2017. Pada hari yang sama, Obor KL2017 telah diserahkan oleh wakil Kelantan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Datuk Hj Zawawi Othman kepada Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Hj Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Muara Kuala Besut.

Larian Obor SEA Games Kuala Lumpur 2017 - Terengganu
Pengerusi Exco Belia Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Yb Dato Haji Rozi Mamat dan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Belia dan Sukan, Mazlan Abdul Mutalib memegang Obor KL2017 ketika gimik menyelam di D’ Lagoon, Pulau Perhentian Terengganu. Turut serta Kelab Selam Skuba Hanelang. Kredit Foto – Mohammad Soffi / www.asiana.my

Acara hari ini juga merupakan permulaan bagi Larian Obor KL2017 di Terengganu yang akan berlangsung sehingga 24 Julai 2017 melalui daerah-daerah utama seperti Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Destinasi seterusnya bagi Larian Obor KL2017 adalah Pahang.

Larian Obor KL2017 ini merupakan satu lagi pra-acara kepada temasya sukan KL2017 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri di Malaysia. Ia adalah inisiatif untuk meningkatkan motivasi dan semangat rakyat menjelang temasya sukan KL2017.

Larian Obor SEA Games Kuala Lumpur 2017 - Terengganu
Pengerusi Exco Belia Sukan dan Sumber Manusia Terengganu Dato Rozi Mamat bergambar bersama Kelab Sukan Scuba Hanelang semasa Gimik menyelam di D`Lagoon Pulau Perhentian. Kredit Foto – Mohammad Soffi / www.asiana.my

Obor yang dibawa oleh para peserta di dalam larian ini merupakan hasil rekaan khas daripada Royal Selangor untuk KL2017.

Larian Obor KL2017 bermula pada 13 Mei 2017 dan dijadualkan berakhir pada 12 Ogos 2017. Sementara itu, KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.

- Advertisement -