‘Orang kuat’ bolasepak Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sejak 15 Mei lalu.

Wan Nawawi yang merupakan sebelum ini merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada kepimpinan baru di bawah kerajaan negeri yang baru menerajui PBSNT seterusnya membuat perubahan yang dirasakan perlu.

“Saya tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana sudah tidak lagi berjawatan (sebagai SUK). Walaupun jawatan saya di PBSNT bukan automatik terbatal kerana peralihan kerajaan negeri, tetapi saya bukanlah seorang yang gila kuasa untuk terus berada di sini, bolasepak adalah untuk peminat.

“Walaupun sebelum ini saya memegang jawatan timbalan presiden atas dasar ingin membantu bolasepak negeri, saya sedar pemilihan saya bukanlah menerusi undian tetapi lantikan, jadi tidak elok untuk saya terus kekal dan adalah lebih baik saya berundur,” jelasnya yang merupakan calon Barisan Nasional bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau mula memegang jawatan tersebut pada Disember 2016 dan telah berjaya membawa Terengganu muncul naib juara Liga Premier 2017 seterusnya kembali ke Liga Super dan antara individu yang bertanggungjawab di dalam menjayakan penjenamaan semula Terengganu kepada Terengganu Football Club (TFC) merubah sepenuhnya wajah T-Team yang kini dikenali TFC II.

Wan Nawawi berharap pucuk pimpinan baru PBSNT nanti akan dapat mengekalkan Terengganu sebagai antara pencabar yang mampu memberi tentangan sengit dalam saingan Liga Super malah menjadikan pasukan itu sebagai sebuah skuad yang lebih baik.

Ketika ini skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim menduduki tangga kelima liga dengan 15 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -