Diogo Fereira

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan tangga tercorot, Pulau Pinang membuat keputusan mengugurkan dua pemain importnya  yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan dalam saingan Liga Super.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) berkata khidmat pemain dari Australia, Diogo Fereira dan bekas pemain kebangsaan Hong Kong, Andrew Russell terpaksa ditamatkan setelah perbincangan bersama pengendali, Zainal Abidin Hassan.

“Keputusan ini dibuat mengambil kira keperluan pasukan selain tidak berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pemain itu. Bagaimanapun kita akan menggantikan mereka dengan pemain baru yang akan dipilih oleh Zainal. Kita telah menguji lima pemain import dengan fokus adalah terarah kepada pemain yang tajam menyudahkan peluang.

“Kita sedar sentuhan penyudah adalah masalah utama pasukan jadi kita serahkan kepada Zainal untuk membuat pilihan yang terbaik dan memandangkan dua pemain yang kita gugurkan itu dari Asia, maka penggantinya juga akan mengisi kuota Asia tersebut,” kata Zairul.

FAP bagaimanapun memilih untuk mengekalkan khidmat dua lagi pemain iaitu Nigel Dabinyaba dari Papua New Guinea dan Reinaldo Lobo dari Brazil.

Untuk rekod, setelah 12 perlawanan, Pulau Pinang yang memulakan musim di bawah kendalian Ashley Westwood masih kekal di kedudukan tercorot dengan hanya lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Terbaru, mereka tewas 1-2 kepada Felda United di tempat sendiri pada Ahad lalu menerusi jaringan minit akhir Norshahrul Idlan Talaha sekaligus membolehkan skuad bimbingan B.Sathianathan itu membalas dendam kekalahan 0-1 kepada Pulau Pinang di Jengka awal bulan April lalu.

- Advertisement -