Pelumba Wilier Triestina-Selle Italia, Luca Pacioni mengambil gilirannya untuk memenangi peringkat apabila muncul terpantas dalam kalangan pakar pecutan di akhir Peringkat 6 dari Tapah ke Tanjung Malim, hari ini.

Walaupun pun menjadi peringkat paling pendek, kayuhan sejauh 108km yang bermula jam 3 petang itu menempuh cuaca unik apabila pelumba mengharungi cuaca panas terik sebelum ditimpa hujan pada pertengahan jalan.

Percaturan Pacioni, pelumba 22 tahun yang pernah menyarung jersi pasukan Colpack, Lampre-Merida dan Androni sebelum menyarung jersi Wilier musim ini serta masih segar dengan kemenangan satu peringat di Tour of Gabon dan Tour of Taiwan sebelum hadir ke LTdL 2018, nyata tepat apabila dapat mengekang henjutan penyarung jersi hijau Raja Pecut, Riccardo Minali dan pelumba TSG, Hariff Salleh menjelang ke garisan penamat.

Di akhir peringkat itu, pelumba TSG, Artem Ovechkin kekal menyarung jersi kuning yang dimenangi di Cameron Highlands semalam, serta jersi polka dot merah sebagai Raja Bukit, manakala Minali terus gah mengukuhkan kedudukan selaku Raja Bukit dengan 55 mata, 9 mata di depan Andrea Guardini (Bardiani-CSF) yang menduduki tempat keempat pada Peringkat 6 itu.

Jersi putih Pelumba Terbaik Asia juga kekal disarung pelumba Astana Pro Team, Yevgeniy Gidich manakala pelumba Sapura Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Zariff yang berada dalam kelompok besar pelumba, masih menjadi pelumba terbaik tempatan buat hari kedua berturut-turut.

Walaupun peringkat landai itu sudah dijangka menjadi milik pakar pecut, kemunculan Pacioni selaku pelumba terpantas ketika melintasi garisan penamat di depan Balai Lintang, Tanjung Malim nyata mengejutkan.

Namun pelumba kelahiran Gatteo, Itali itu berkata dia memasang strategi yang tepat untuk membolehkannya muncul pemenang hari ini.

“Sebelum menghampiri selekoh terakhir kira-kira 100 meter dari garisan penamat, saya sudah mula menghenjut untuk mencari posisi yang selesa di selekoh. Tetapi rakan sepasukan Zhupa (Eugert) juga bekerja keras hari ini untuk membawa saya ke depan.

“Kemenangan ini lebih manis dan membuktikan kepada pasukan bahawa saya juga boleh memecut walaupun saya bukanlah pakar pecut tulen. Saya tidak takut untuk bersaing dalam pecutan terakhir. Yang penting ialah bijak mencatur strategi,” kata Pacioni yang tekad menambah koleksi kemenangan pada baki peringkat LTdL ini di Muar dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyarung jersi kuning dan polka dot merah, Ovechkin berkata dia hanya berkayuh secara selamat di belakang rakan sepasukan TSG yang turut memainkan peranan ketika mengejar kumpulan pelumba yang cuba membuat pemecahan.

“Hari ini seperti hari rehat saya kerana ia pendek dan laju tetapi rakan sepasukan serta beberapa pasukan yang mengandungi pakar pecut lain terpaksa bekerja keras di sepanjang perlumbaan untuk mengejar kumpulan pelumba di depan.

“TSG akan fokus untuk mempertahankan jersi kuning ini walaupun baki laluan adalah peringkat yang panjang serta ada banyak zon pendakian,” kata Ovechkin yang masih berada 32 saat di depan pencabar terdekat dari St George Continental Cycling Team, Benjamin Dyball dan 10 mata di depan Alvaro Raul Duarte (Forca Amskins) dalam perebutan jersi polka dot merah.

Minali yang menjadi pelumba tunggal meraih lebih dari satu peringkat pada edisi ke-23 LTdL ini apabila menang di Kota Bharu dan Pekan, mengakui henjutan Pacioni lebih laju pada hari ini.

“Saya agak tercicir ketika menghampiri selekoh terakhir dan walaupun berada di belakangnya, ternyata pecutannya lebih baik dan saya gagal memintasnya. Namun tempat kedua masih dianggap bagus dan saya akan cuba menambah lagi koleksi kemenangan selepas ini,” kata pelumba Astana itu.

Penyokong tempatan terutama pasukan TSG yang berpangkalan di Terengganu tetap gembira apabila Hariff Saleh turut menempatkan dirinya dalam kedudukan podium, selepas satu lagi tempat ketiga di Pekan.

“Pasukan TSG memang berusaha keras hari ini, terutama untuk melindungi jersi kuning Artem. Tetapi apabila kelompok besar dapat menangkap seorang pelumba di depan, saya mengalihkan tumpuan untuk cuba menang di peringkat ini.

“Ada kemalangan kecil ketika menghampiri penamat dan ini menjejaskan sedikit tempo kayuhan saya dan agak lambat bertindak ketika pelumba di depan sudah mula memecut ke garisan penamat,” kata Hariff.

Pada Peringkat 6 itu, peloton tetap berkayuh laju dengan purata kelajuan 44.9kmj walaupun ditimpa hujan pada pertengahan jalan, terutama untuk menangkap pelumba Thailand Continental, Turakit Boonratanathanakorn yang membuat pemecahan secara solo pada jarak kira-kira 20km dan suatu ketika, dia berada 3 minit 30 saat di depan peloton.

Begitupun, Turakit dapat ditangkap pada baki 12km dan terpaksa membayar harga yang mahal apabila tercicir 3 minit 13 saat di belakang kelompok besar diketuai Pacioni yang menamatkan kayuhan dengan masa 2 jam 24 minit 55 saat.

Selepas menempuh peringkat paling pendek, peloton akan menempuh Peringkat 7 yang paling panjang dalam edisi kali ini iaitu dari Nilai ke Muar sejauh 222.4km, yang mungkin menyebabkan beberapa perubahan pemegang jersi.

Kayuhan yang bermula di perkarangan Velodrom Nasional di Nilai itu membabitkan tiga zon pendakian iaitu di Mantin (Km9.7), Tampin (Km136.2) dan Tangkak (Km194.7) serta enam zon pendakian iaitu Mantin (Km14.9), Lenggeng (Km23.9), Bukit Putus (Km49.2), Sri Menanti (Km63.2), Inas (Km88.2), dan Bukit Miku (Km112.5).

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

 

RESULTS

STAGE

  1. Luca Pacioni – WILLIER TRIESTINA – 2:24:55
  2. Riccardo Minali – ASTANA – same
  3. Mohd Harrid Salleh – TSG – same

 

OVERALL

  1. Artem Ovechkin – TSG – 23:46:29
  2. Benjamin Dyball – ST.GEORGE CONTINENTAL – 23:47:01
  3. Harrison Sweeney – MITCHELTON BIKEEXCHANGE – 23:47:28

 

BEST SPRINTERS’ (GREEN JERSEY) 

  1. Riccardo Minali – ASTANA – 55 points
  2. Andrea Guardini –BARDINI – 46 points
  3. Luca Pacioni – WILLIER TRISTINA – 35 points

 

BEST CLIMBERS’ (RED POLKA DOT JERSEY) 

  1. Artem Ovechkin – TSG – 40 points
  2. Alvaro Sandoval – Forca Amskins – 30 points
  3. Bernardo Arango – Manzana Postobon – 28 points
- Advertisement -